suria

Pengasas wajibkan duta pakai tudung, Reen Rahim harap terbuka hati tutup aurat sepenuhnya

Reen Rahim tampil berhijab dalam kempen terbaharu sebuah produk.

USAHAWAN dan pengasas produk Zaiti Noordin tetap dengan pendirian tegas meletakkan syarat selebriti wanita yang menjadi duta atau wajah promosi serta kempen jenamanya perlu bertudung.

Zaiti berkata, keputusan nekad itu seiring dengan cerminan dua nilai teras diperjuangkan jenamanya Zeeta iaitu terinspirasi dan terpelihara (Be Inspired and Be Protected).

Jelasnya, mereka bukan melawan arus sebaliknya sedar pegangan serta prinsip diperjuangkan itu sudah dibuat oleh kebanyakan ahli perniagaan selain menyifatkan ia sebagai dakwah kecil.

Reen Rahim 2

Reen berharap terbuka hati untuk menutup aurat sepenuhnya.

"Mungkin selama ini pilihan artis atau selebriti tidak bertudung lebih diutamakan tapi kami setia dengan prinsip meletakkan wajah atau duta produk yang mesti bertudung.

"Sekalipun ada selebriti tidak bertudung, kami meminta jasa baik dan kerjasama mereka untuk sekurang-kurangnya menutup aurat ketika mempromosikan produk.

"Contoh terbaharu ialah pelakon Reen Rahim yang sudah bersetuju dengan syarat dan kehendak berkenaan selepas menjalinkan kerjasama dengan kami," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tangguh niat hamil, Reen Rahim terpaksa berkorban sebab komitmen kerja... percaya ini jalan terbaik

ARTIKEL BERKAITAN: Reen Rahim naik angin dituduh sombong tak layan peminat, pergi tandas pun salah... “Kau ingat artis ni hamba abdi ke?”

Tambah Zaiti, dalam konteks memberi inspirasi, Zeeta ingin memecah tembok pemikiran wanita berhijab di Malaysia sekali gus memperkasa golongan berkenaan.

"Kami ingin mengubah stereotaip. Jangan ingat wanita bertudung tidak mampu ke depan. Dalam konteks memelihara pula, ia lebih jelas sebagaimana kita balut buku untuk memelihara kulit depan dan belakangnya atau memakai langsir di tingkap untuk mencantikkan.

"Tak lupa keselamatan makanan terjaga dengan mengguna penutup saji. Begitu juga dengan cara Islam menghargai dan memelihara keindahan wanita. Zeeta juga ingin memelihara keindahan wanita dengan cara sama," ujarnya.

Zaiti

Zaiti Noordin tetap dengan pendirian mahu duta atau wajah mewakili produknya tampil bertudung.

Sebelum ini, jenama sama pernah menggunakan khidmat pelakon Nad Zainal dan Fazlina Ahmad Daud yang mana sebelum ini kedua-dua mereka tidak bertudung namun kini sudah menutup aurat.

Sementara itu, Reen atau Noreen Ashikin Abdul Rahim, 35, berkata, ini adalah pengalaman pertama dia diminta mengenakan tudung bagi mempromosikan sesuatu produk.

Kata Reen, dia gembira dan terbuka menerima syarat berkenaan kerana percaya ada hikmah di sebalik yang sudah diatur oleh Allah untuknya.

"Dalam hidup ini, apa yang Allah SWT susun tiada yang kebetulan. Doakan semoga segenap hati Reen nanti menutup aurat kerana-Nya. Amin," katanya yang dipilih sebagai wajah kempen terbaharu jenama berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain