SELEPAS menerima pelbagai reaksi negatif berhubung teknik pengimejan berkomputer (CGI) dalam filem Sumpahan Jerunei, pelakonnya iaitu Daiyan Trisha tampil menjelaskan mengenai isu berkenaan. Menurut Daiyan atau Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 30, kekurangan pada teknik CGI itu disebabkan oleh individu yang bertanggungjawab mengendalikan kesan khas berkenaan mahu namanya ditukar menjadi pengarah filem. Disebabkan pihak penerbit tidak bersetuju dengan permintaan tersebut, penyelia kesan khas berasal dari Amerika Syarikat itu menarik diri dan enggan menyelesaikan tugasnya. Cerita Daiyan lagi, penggambaran filem ini dilakukan empat tahun lalu di Mukah, Sarawak, namun tergendala akibat pandemik Covid-19. Daiyan berkongsi cerita sebenar disebalik apa yang berlaku. "Penggambaran terhenti pada tahun 2020 disebabkan pandemik dan kami mendapat berita bahawa individu tersebut mahu nama pengarah dibuang dan ditukarkan kepada namanya. "Kami terkejut kenapa kami perlu melakukan perkara itu... dan sudah tentu pihak penerbit tidak bersetuju atas permintaannya. "Jadi bila penerbit tidak bersetuju dia terus balik AS dan dia tak siapkan kerja. Apa yang saya tahu, penerbit sudah membayarnya dengan bayaran yang tinggi... tetapi dia tidak menyelesaikan tugasnya. ARTIKEL BERKAITAN: "Kerja budak fakulti filem lagi best" - Kritikan 'bunuh' Sumpahan Jerunei gagal, 4 hari tayangan dah dapat RM1 juta ARTIKEL BERKAITAN: Sumpahan Jerunei cemerlang di luar negara, penerbit gementar menanti reaksi penonton tempatan "Ya itulah cerita sebenar, kami kena tipu dengan orang putih (ketawa)," katanya. Daiyan berkongsi perkara itu menerusi satu video yang dimuat naik di aplikasi TikTok miliknya pada Jumaat. Dalam pada itu, Daiyan turut mengakui kekurangan teknologi CGI dalam filem berkenaan dan menghormati pandangan yang diberikan penonton. Kata Daiyan, tidak semua perkara dapat ditangani oleh pihak produksi dan berharap penonton terus memberikan sokongan buat filem ini yang masih lagi ditayangkan di pawagam. "Ramai yang komplen disebabkan teknik CGI. Sebagai pelakon dan gemar menonton filem, saya akui teknik CGI dalam filem Sumpahan Jerunei ini agak teruk. "Tetapi mungkin ia dapat dikecualikan kerana masalah-masalah dalaman yang kami lalui. Berdasarkan komen lain, penonton suka dengan jalan cerita, lakonan artis pun dipuji... ada yang kata takut, ada yang kata tidak. "Saya hormati pendapat masing-masing. Kami pun berharap teknik CGI itu dapat dilakukan dengan lebih baik tetapi kadang-kadang kita juga tidak dapat mengawal apa yang akan terjadi," ujarnya. Dalam pada itu, pelakon Budak Tebing ini turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi membeli tiket wayang menyokong Sumpahan Jerunei di pawagam. Biarpun menerima kritikan hebat, aktres berkenaan tetap meluahkan rasa syukur apabila filem tersebut menerima kutipan sebanyak RM1 juta selepas empat hari ditayangkan. "Ramai sangat yang beri saya reaksi filem Sumpahan Jerunei terutamanya berkaitan dengan teknik CGI. Sumpahan Jerunei mula ditayangkan di pawagam 27 Julai lalu. "Pertamanya saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sudah membeli tiket untuk menonton filem ini di pawagam. "Terima kasih walaupun anda kutuk, anda cakap CGI teruk tetapi sekurang-kurangnya anda telah membeli tiket untuk menonton," katanya. Sebelum ini, tular sebuah video di Twitter apabila dua individu meluahkan rasa kecewa dengan kualiti filem Sumpahan Jerunei selain menyifatkan teknik CGI tidak mencapai tahap sepatutnya. Malah mereka juga menyifatkan hasil kerja pelajar fakulti filem lebih baik selain meminta orang ramai tidak membazirkan wang menonton filem arahan Jason Chong itu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!