suria

[V] YB Batu Tiga kongsi cerita tentang Harun Salim Bachik, sifat kepimpinan bapa pengaruhi karier politik

ADUN Batu Tiga, Shah Alam iaitu Danial Al Rashid mengimbau sikap Allahyarham bapanya iaitu pelakon dan pelawak Harun Salim Bachik yang gemar belanja rakan-rakannya makan sekiranya ada kesempatan.

Danial, 37, berkata, perbuatan itu bukan ingin bermegah dengan kekayaan sebaliknya memang menjadi amalan dan sikap Allahyarham yang memang suka menjamu orang lain dengan makanan selain menjaga kebajikan mereka.

Kata Danial, contoh yang ditunjukkan itu memberi kesan mendalam kepadanya dalam membentuk dirinya sebagai seorang wakil rakyat.

"Ramai orang tak tahu arwah seorang yang pendiam apabila berada di rumah tapi lebih menunjukkan dengan perbuatan.

348642335_196292533329553_4583331159207856972_n

Danial mula berjinak dalam dunia politik sejak tahun 2008.

"Biasanya bila saya keluar bersama arwah dan kawan-kawan arwah, saya selalu perhatikan ayah memang suka menjamu orang lain makan.

"Bukan mahu tunjuk dia banyak duit tapi itu cara dia jaga orang lain. Contoh ditunjukkan buat perkara itu sentiasa tersemat dalam hati dan ia beri kesan secara tidak langsung kepada saya," katanya ketika ditemui mStar pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Harun Salim Bachik Meninggal Dunia, Rebah Di R&R

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah Harun Salim Bachik Selamat Dikebumikan

Dalam pada itu, Danial yang sudah berjinak-jinak dalam dunia politik sejak menuntut di universiti memberitahu Harun tidak pernah menghalangnya bergiat dalam bidang itu malah sentiasa menyokong semua perjuangannya.

Meskipun Allahyarham tidak terlibat secara langsung dalam dunia politik, namun jawatan sebagai Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang dipegang pada 2009 hingga 2012 membuatkan dia berasa kagum dengan sifat kepimpinan Harun ketika itu.

"Saya tidak tahu tentang presiden Seniman sekarang atau sebelum itu, tapi arwah selalu fikir tentang orang lain berbanding fikir fasal dirinya sendiri.

Saya selalu perhatikan ayah memang suka menjamu orang lain makan.

DANIAL AL RASHID

ADUN BATU TIGA, SHAH ALAM

"Perkara itu membuatkan saya mahu berfikiran seperti dia malah ada ideanya ketika itu yang saya rasa lain daripada lain yang membuatkan saya kagum dengannya.

"Idea mengenai mahu memastikan semua ahli Seniman mempunyai simpanan KWSP saya rasa belum pernah dibuat sebelum ini," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai tugasnya sebagai Adun Batu Tiga, Shah Alam, Danial berharap mampu menggalas amanah dan mandat diberikan rakyat kepadanya.

danialalrashid_26866803_563046084034242_6161091948586205184_n

Foto kenangan arwah Harun Salim Bachik bersama Danial.

"Harapan saya agar ada kerjassama yang baik dengan masyarakat di Batu Tiga tanpa mengambil kira fahaman politik, saya nampak Batu Tiga boleh pergi lebih jauh," ujarnya.

Untuk rekod, Danial adalah calon muka baharu Pakatan Harapan (PH) menewaskan calon Perikatan Nasional (PH) yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

Danial menang dengan undi sebanyak 26,064 dengan majoriti 3,382.

362973647_754858979977818_411755712872642940_n

Danial kini sah memegang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kawasan Batu Tiga, Shah Alam.

Rina pula hanya mendapat 25,682 undi.

Selain Rina dan Danial, kerusi Batu Tiga juga ditandingi calon dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syaidiyah Izzati Nur Razak yang memperoleh 1,902 undi.

Danial adalah anak kedua Harun hasil perkongsian dengan bekas isteri, Martina Ahmad, 61 tahun.

Allahyarham meninggal dunia pada 8 Mac 2015 ketika berusia 56 tahun akibat sesak nafas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain