suria

Vanessa Reynauld teruja nyanyi lagu ciptaan Naqiu, Igau dicipta khas ikut kesesuaian vokal

Vanessa muncul dengan single baharu 'Igau'.

SELEPAS kejayaan memukau hati mentor di program Sing! China 2023, Vanessa Reynauld muncul dengan single baharu berjudul Igau ciptaan penyanyi dan pengubah lagu iaitu Naqiu.

Menurut Vanessa, 23, lagu ciptaan Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 37, mempunyai keunikan dan keistimewaan buat dirinya.

Ia dicipta khas dengan mengambil kira aspek kesesuaian vokal Vanessa yang sangat unik dan luar biasa.

"Saya sangat teruja melancarkan single ini apabila mendapat tahu ia dicipta khas untuk saya.

vaneesa1 - 1

Vanessa teruja menyanyikan lagu ciptaan Naqiu.

"Sebelum ini juga saya dan Naqiu pernah bekerjasama menerusi lagu Rindu Separuh Nyawa.

"Naqiu merasakan saya mampu menyampaikan lagu yang 'power vocal' dan dia benar-benar menstrukturkan lagu ini mengikut kesesuaian suara saya," katanya.

Igau mengisahkan tentang seorang wanita yang mendambakan pasangan yang mampu memberikan kekasih sayang dan kebahagiaan buat selamanya.

Kata Vanessa, konsep lagu ini masih mengetengahkan genre balada rock dan kisah cinta.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Andai Itu Takdirnya' buat Vanessa Reynauld jatuh cinta, proses rakaman hanya ambil masa 4 jam

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mudah rakam lagu ‘Buat Ku Sempurna’, Vanessa Reynauld perlu berlatih banyak kali untuk dapat 'feel'

"Saya sangat teruja dengan konsep kali ini kerana ia menekankan elemen lagu cinta dan jiwang... saya yakin genre lagu seperti ini sangat dekat dengan citarasa pendengar.

"Bagi yang masih bujang atau belum pernah bercinta, lagu ini sesuai untuk mereka dan saya sendiri sebelum ini tidak pernah mempunyai pasangan bercinta," ujarnya.

Dalam pada itu, Vanessa mendedahkan Igau sebenarnya sudah dihasilkan sekitar setahun lalu dan lagu ini memerlukan persiapan rapi agar ia boleh diterima semua.

"Lagu ini telah siap hampir setahun tetapi kami mengambil masa untuk melancarkannya keranamahu membuat persiapan rapi agar lagu ini dapat dijayakan dengan sempurna.

vaneesa2 - 1

Keunikan lagu Igau menguji kemantapan vokal Vanessa.

"Antara persiapan yang dilakukan seperti saya berlatih menyanyikannya terlebih dahulu dan membuat beberapa perubahan bagi mencantikkan lagi struktur ayat dan sebutan dalam lirik supaya sedap bila dinyanyikan," katanya.

Pada Ogos lalu, Vanessa menyertai pertandingan terbitang Zheijang TV iaitu Sing! China 2023 yang sebelum ini dikenali sebagai The Voice of China.

Penyanyi berkenaan berjaya menarik perhatian empat mentor iaitu Emil Chau, Joker Xue, Will Pan, dan Henry Lau (salah seorang ahli kumpulan lelaki popolar di Korea iaitu Super Junior) selepas menyanyikan lagu Riding The Wind nyanyian David Huang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain