suria

Gambar bersama kekasih disangka Sofyank, Mia Sara dituduh perosak rumah tangga - “Nama mereka pun hampir sama!”

Mia Sara minta maaf atas kekeliruan yang berlaku melibatkan wajah teman lelakinya.

PELAKON Mia Sarah Shauki memohon maaf berhubung kekeliruan sesetengah pihak yang menyangka dia mempunyai hubungan dengan Sofyank sehingga memberi tempias kepada rumah tangga pempengaruh media sosial popular tersebut.

Menjelaskan hal tersebut, Mia, 23, berkata, ramai salah faham menyangka foto bersama seorang lelaki yang dimuat naik di Instagram miliknya adalah Sofyank kerana wajahnya mirip dengan teman lelakinya.

Tidak hanya memiliki wajah mirip, anak kepada pelakon dan pengarah Datuk Afdlin Shauki ini turut memberitahu nama mereka juga hampir serupa iaitu Sufiyan.

"Saya sama sekali tak menyangka akan mengulas mengenai perkara ini... lucu sebenarnya sebab tak tahu pula perkongsian di Instagram boleh tular sehingga ramai salah sangka.

miamia

Wajah teman lelaki Mia mirip dengan pempengaruh media sosial Sofyank.

"Saya mohon maaf atas kekeliruan yang timbul malah saya juga sudah cuba menghubungi Sofyank di laman sosialnya untuk mohon maaf tapi mungkin dia tak perasan mesej dihantar kepadanya.

"Bukan saya saja, teman lelaki saya pun turut memohon maaf kepada Sofyank dan isteri jika ada menyusahkan atau menyinggung perasaan mereka," katanya kepada mStar.

Mia berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Siri Astro Original berjudul Riot! yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mia Sara Shauki hormat keputusan ibu bapa pilih jalan berpisah untuk kegembiraan mereka

ARTIKEL BERKAITAN: Anak Afdlin Shauki, Mia Sara sedia dikritik masuk industri seni guna kabel bapa

Dalam perkembangan lain, Mia yang memegang watak sebagai Feeqi menerusi drama bersiri Riot! itu berharap tiada pihak yang menghakimi dirinya berdasarkan karakter yang dijayakan.

Katanya, meskipun membawa watak yang kurang sopan di mata masyarakat namun dia tetap dengan prinsipnya untuk menjaga nama baik bapanya.

“Sebelum ini dalam drama bersiri Histeria saya merokok, kali ini juga ada babak merokok. Semoga tiada yang menganggap saya pengaruh buruk kerana tuntutan watak.

“Sejak berkecimpung dalam bidang seni, saya bukan saja membawa nama sendiri namun juga perlu menjaga nama baik ayah saya,” ujarnya.

mia sara

Mia tampil dalam projek terbaharu berjudul Riot!

Riot! menceritakan kisah fiksyen sebuah band iaitu Langkah Mayat yang memainkan muzik protes untuk menyuarakan keadilan untuk mangsa-mangsa ketidakadilan di kampus mereka.

Penyanyi utama mereka, Sal atau Saleha yang merupakan mangsa gangguan seksual oleh pensyarahnya bersama-sama rakan seperjuangannya berhasrat untuk memainkan lagu-lagu mereka untuk membawa kesedaran mengenai isu gangguan seksual.

Selain Mia, Riot! juga dibintangi Tami Anadan, Aniq Durar, Rashidi Ishak, Iedil Dzuhrie Alaudin, Che Puan Sarimah Ibrahim, Uyaina Arshad dan ramai lagi.

Malah turut menampilkan secara istimewa daripada artis-artis tersohor seperti Altimet, Suki Low dan Awal Ashaari.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain