suria

[V] Setahun tiada undangan nyanyian akibat kanser, Ibnor Riza jual 3 buah kereta tampung rawatan

Ibnor masih berusaha mencari kos rawatan kemoterapi.

HAMPIR setahun tidak menerima tawaran pekerjaan, penyanyi Ibnor Riza mendedahkan dia sudah menjual tiga buah kereta miliknya untuk menampung kehidupan harian.

Ibnor atau Ibnor Riza Ibrahim, 62, berkata, dia terpaksa menjual kenderaan tersebut disebabkan tiada lagi punca pendapatan sejak disahkan menghidap kanser limfoma tahun lalu.

Menurut Ibnor, wang jualan kereta itu bukan hanya digunakan untuk menanggung rawatan kanser tetapi sedbagai perbelanjaan harian dia dan keluarga.

"Sebenarnya sebelum ini saya sudah menjual tiga buah kereta milik saya dan hanya tinggal sebuah kereta untuk saya gunakan.

IBNOR1 - 1

Ibnor berterima kasih dengan penganjuran program mStar Baek.

"Tujuan saya jual kereta itu bukan hanya untuk menampung kos rawatan sahaja tetapi bagi perbelanjaan harian juga.

"Ini disebabkan saya sudah terputus punca pendapatan sejak bulan November lalu... Jadi apa yang ada itulah saya guna bagi menampung kehidupan sekarang," katanya kepada mStar.

Ibnor berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sambutan ulang tahun ke-18 mStar dan pelancaran program mStar Baek yang diadakan di Menara Star, Petaling Jaya pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam sesi kimoterapi tak mampu bunuh sel kanser, Ibnor Riza perlu RM30,000 jalani rawatan di hospital swasta

ARTIKEL BERKAITAN: Ibnor Riza anggap hidap kanser sebagai hikmah, kini giat buat solat qada dan sudah mampu hafal surah lazim

Dalam pada itu, penyanyi lagu Mimpi Yang Tak Sudah ini turut berkongsi tahap kesihatannya kini bertambah baik selepas menjalani sesi kimoterapi di sebuah hospital swasta.

Bagaimanapun, Ibnor menjelaskan dana rawatan yang diperlukan masih belum mencukupi dan sedang berusaha untuk mengumpul wang.

"Setakat ini saya sudah selesai menjalani sesi kemoterapi yang pertama... satu sesi kemoterapi sekitar RM30,000.

Sebelum ini saya sudah menjual tiga buah kereta milik saya dan hanya tinggal sebuah kereta untuk saya gunakan.

IBNOR RIZA

PENYANYI

"Namun untuk sesi seterusnya, dana rawatan masih lagi belum mencukupi. Cuma apa sahaja yang orang beri sumbangan saya akan kumpulkan untuk menampung kos rawatan seterusnya.

"Saya masih lagi mencari dana kos rawatan... disebabkan itu saya memberitahu kepada orang ramai bagi tujuan sumbangan ikhlas," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Ibnor turut terlibat dalam program terbaharu terbitan mStar iaitu mStar Baek yang merupakan sebuah inisiatif bersama penaja Noir Health & Beauty menyantuni golongan artis memerlukan.

Kata Ibnor, dia mengucapkan terima kasih kepada mStar kerana mewujudkan sebuah program yang memberi bantuan buat rakan-rakan industri hiburan yang sedang mengalami kesusahan.

IBNOR3 - 1

Ibnor didiagnos kanser limfoma sejak tahun lalu.

"Pertama kali saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada mStar kerana melakukan satu inisiatif yang sangat baik membantu saya sebagai salah seorang artis yang terpilih.

"Dengan bantuan yang diberikan, syukur Alhamdulillah sedikit sebanyak dapat membantu dan meringankan beban saya untuk meneruskan hidup," katanya.

Program mStar Baek yang berbentuk video 10 episod akan bersiaran pada setiap Khamis bermula 5 Oktober 2023 di portal mStar serta semua platform media sosialnya termasuk YouTube dan Facebook.

IBNOR2 - 1

Ibnor bersama tiga lagi rakan artis iaitu Zaiton Sameon, Mak Jah dan Mak Wan di majlis pelancaran mStar Baek.

mStar bersama Pengasas Noir Health & Beauty, Madammu atau Eriyca Baiduri sudah menyantuni 10 selebriti terpilih untuk menyerahkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan lain.

Antara artis yang disantuni dan menerima sumbangan termasuklah Zaiton Sameon, Mak Jah, Bad (Indigo), Mak Wan Latah, Ibnor Riza, Roy (Ratnaku) Wan Maimunah, Alina Hassan dan Izwan Fitri.

Pada 19 Februari lalu, Ibnor tiba-tiba diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain teruk.

Dia mendapat tahu tentang kanser itu selepas melakukan pemeriksaan doktor susulan mengalami bengkak pada lehernya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain