PRIHATIN nasib menimpa rakyat Palestin, penyanyi Datuk Awie bersama kumpulan Wings akan mengadakan satu acara solidariti pada 13 November ini. Kata Awie atau Ahmad Azhar Othman, 54, penganjuran tersebut dirancang sebagai tanda sokongan terhadap masyarakat Islam di negara berkenaan. Menurutnya lagi, acara itu perlu diadakan secara berasingan tanpa menunggu konsert Wings yang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember. “Tak perlu konsert, kalau nak buat solidariti kita boleh buat acara khas sebab itu kami dah rancang mahu adakan acara begini. Awie ada cara tersendiri tunjuk sokongan pada Palestin. “Konsert ada cara cari makan untuk teruskan kehidupan. Solidariti ini cara kami tunjukkan sokongan terhadap Palestin,” katanya kepada mStar. Awie ditemui ketika majlis sidang media konsert The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter yang berlangsung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Selasa. Acara solidariti itu juga akan disertai oleh Wings Motor Gang Society dan diadakan di sebuah negeri yang akan dimaklumkan kemudian. Pada program itu dia juga menjemput semua ahli kumpulan permotoran negeri itu untuk menyertai acara seharian seperti solat hajat dan berdoa. ARTIKEL BERKAITAN: Air mata saksi pertemuan Awie dan 2 anak, bekas isteri pun turut serta - “Terima kasih ibu anak-anakku” ARTIKEL BERKAITAN: [V] Lapan tahun terpisah, Awie akhirnya berpeluang jumpa dua anak Aidiladha ini Tambah Awie lagi, dia sedar ramai yang mungkin beranggapan penganjuran konsert pada Disember ini adalah tidak sesuai memandangkan pergolakan yang sedang berlaku di Palestin. Namun sebagai anak seni, Awie perlu meneruskan aktiviti kerjaya kerana itu juga adalah sumber rezeki buatnya. “Kalau tiada konsert saya nak makan apa? Kami juga perlu sara keluarga. Jadi konsert akan diteruskan. Konsert The Rock Emperor Kuala Lumpur Chaper bakal berlangsung pada 16 Disember ini. “Saya tahu ramai yang akan mempertikaikan konsert kami, tapi itu tidak bermakna kami tidak sensitif dengan isu ini. “Konsert jalan seperti biasa, hati dan doa kami akan sentiasa untuk Palestin,” ujarnya. Konsert The Rock Emperor Kuala Lumpur Chaper bakal berlangsung di Stadium Melawati Shah Alam pada 16 Disember ini. Tiket sudah mula dijual wings.ubertickets.asia dan pihak penganjur turut menawarkan harga istimewa berjumlah RM125 untuk peminat di zon rock. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!