SUDAH beberapa kali mengadakan persembahan di Malaysia, penyanyi Afgan memberitahu dia sebenarnya masih belum bersedia untuk melakukan konsert di stadium besar. Jika artis lain teruja untuk menganjurkan konsert di lokasi lebih besar, namun Afgan atau Afgansyah Reza, 34, memberitahu dia pula berasa bimbang untuk beraksi di hadapan kapasiti penonton yang ramai. Justeru itu, untuk konsert kali ini Afgan memilih Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai lokasi Afgan Live In Concert With Orchestra yang bakal berlangsung pada malam Sabtu. Afgan bimbang untuk lakukan persembahan di depan ribuan penonton. “Perancangannya memang mahu menganjurkan konsert di stadium tetapi saya belum bersedia. “Saya rasa dewan plenari merupakan lokasi sempurna untuk menganjurkan konsert orkestra. “Kalau konsert di stadium sudah tentu penontonnya besar hingga mencapai 20,000 penonton,” katanya kepada mStar. Afgan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Afgan Live In Concert With Orchestra yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada petang Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: Afgan berjalan dalam tidur, tak sedar kemas rumah pukul 3 pagi... Sedar-sedar dah peluk vakum ARTIKEL BERKAITAN: “Perbuatan dosa disorak-sorak”... PU Syed tegur aksi Afgan peluk peminat wanita Dalam pada itu, penyanyi lagu Terima Kasih Cinta ini meluahkan rasa teruja kerana buat pertama kalinya bakal menganjurkan konsert dengan iringan pemuzik orkestra. Kata Afgan, kali terakhir melakukan persembahan konsert orkestra adalah di Indonesia pada lapan tahun lalu dan impiannya untuk menghiburkan peminat di Malaysia akhirnya tercapai. “Apa boleh dikatakan, untuk konsert kali ini sesuatu yang cukup mengujakan kerana buat pertama kali saya bekerjasama dengan pemuzik orkestra di Malaysia. “Kalau di Indonesia kali terakhir menganjurkan konsert orkestra pada 2015. Afgan bimbang dengan keadaan suara sebelum konsert. “Apabila dimaklumkan pihak penganjur bersetuju untuk menjayakan konsert ini, bagi saya ‘it’s amazing’! Tidak sabar rasanya untuk menghiburkan peminat nanti,” ujarnya. Pun begitu, penyanyi kelahiran Indonesia ini turut meluahkan rasa bimbang dengan keadaan suaranya memandangkan dia kerap melakukan persembahan di Indonesia. “Walaupun saya teruja untuk konsert malam esok (Sabtu), tetapi saya agak bimbang dengan keadaan suara saya. “Sebelum konsert saya banyak membuat persembahan back to back di Indonesia jadi saya rasa agak penat. “Namun apabila saya naik ke pentas dan melihat penonton, saya pasti akan memberikan persembahan yang terbaik,” katanya. Berbeza dengan konsert sebelum ini, Afgan bakal menghiburkan peminat dengan 25 buah lagu popularnya dan diserikan dengan penyanyi jemputan iaitu Raisa. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!