DATUK M. Nasir merupakan salah seorang figura yang cukup berpengaruh dalam perjalanan kerjaya seni penyanyi Datuk Hattan. Menganggap individu itu sebagai guru, Hattan atau Mohd Shukri Shahabudin, 59, turut meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang sekali lagi bergandingan dalam sebuah konsert yang diberi nama Konsert Sifu Dan Aku. Kata Hattan, persembahan gabungan mereka berdua nanti juga bakal menceritakan perjalanan kerjaya sejak awal pembabitan dalam dunia seni sehingga kini. M. Nasir (kanan) merupakan individu yang banyak mempengaruhi perjalanan kerjaya Hattan. "Saya mahu menjadikan konsert ini sebagai satu memori indah untuk kerjaya seni kerana kita kongsi satu pentas bersama di dalam satu konsert. Jadi, pada malam itu kami menyanyikan semua lagu hit. "Sejak mula saya berguru dengan M. Nasir, belajar terbit lagu, menyanyi dan semua dari zaman dulu. Kiranya, konsert ini adalah klimaks pada perguruan saya bersama beliau," katanya. Dalam konsert yang akan berlangsung pada 3 Februari tahun depan itu nanti kedua-dua mereka akan mendendangkan lagu-lagu popular selain mempunyai sejarah tersendiri. ARTIKEL BERKAITAN: Bayaran mahal bukan ‘makan’ sendiri, Aina Abdul kongsi rezeki dengan semua pekerja ARTIKEL BERKAITAN: Peminat berang Nadeera ganti nyanyi ‘Astana’ di SFMM38, Rocketfuel kata ia keputusan Ernie Zakri Malah ia juga menjadi tanda persahabatan dua insan seni yang sudah sekian lama mencipta nama dan kekal bertahan hingga hari ini. "Memang ini bakal menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakan. Rugi kalau orang tak datang kerana dalam penceritaan konsert ini saya akan kongsi bagaiamana mengenali M. Nasir sehingga saat ini. "Saya juga pernah tampil dengan album berjudul Palestin Untuk Palestin yang diterbitkan oleh beliau," ujarnya. Konsert ini adalah klimaks pada perguruan saya bersama beliau DATUK HATTAN PENYANYI Sementara itu, M. Nasir pula berkata konsert gabungan mereka ini juga menjadi satu cabaran untuk membuktikan dia benar-benar telah menyerlahkan bakat dan potensi Hattan sebagai anak didiknya. Acara ini juga merupakan pertama kali gabungan mereka berdua dalam sebuah konsert. "Saya anggap persembahan ini satu cabaran memandangkan hubungan saya dengan Hattan sudah lama. Dia menyerlahkan bakatnya selepas menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya. M. Nasir menjanjikan persembahan menghiburkankan untuk peminat di Sabah. "Selepas sekian lama bekerjasama, kali ini kami berada di satu pentas yang penonton akan melihat terbuktinya kombinasi kami," jelasnya. Konsert ini bakal berlangsung di Sabah International Convention Center (SICC). Tiket sudah mula dijual pada harga bermula RM188 untuk tempat duduk bebas dan RM988 untuk VIP. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!