KONTROVERSI penarikan diri lagu Budi nyanyian dan ciptaan Kmy Kmo, Luca Sickta bersama Sufian Suhaimi daripada Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38) dilihat sebagai trend tidak sihat selain satu kerugian. Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez berkata, penggiat seni seharusnya melihat pertandingan tersebut bukan sekadar dapat melonjakkan populariti tetapi dapat memberi pendapatan yang tinggi. "Kami (Karyawan) bimbang dengan keadaan ini dan masa depan mereka kerana Anugerah Juara Lagu (AJL) menjadi platform terbaik yang mampu melonjakkan populariti artis dan komposer. "Selain itu, ia juga menyumbang kepada pendapatan yang tinggi jika berjaya ke peringkat akhir. Kmy, Sufian Suhaimi (tengah) dan Luca menarik diri dalam SFMM38. "Tarik diri satu tindakan kurang bijak yang akan merugikan mereka sendiri dalam jangka masa panjang," katanya menerusi satu kenyataan media kepada mStar. Dalam pada itu, Freddie turut menganggap penarikan diri yang dibuat tanpa sebab jelas adalah keputusan tidak masuk akal. Jelas Freddie, Karyawan juga tidak jelas dengan perjanjian di antara Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dengan Media Prima yang menjadi antara alasan peserta menarik diri. ARTIKEL BERKAITAN: Kontrak pertandingan sentuh hak cipta punca lagu ‘Budi’ tak bertanding SFMM38, ini penjelasan Kmy Kmo ARTIKEL BERKAITAN: TV3 dapat surat 'Budi' tarik diri SFMM38 Khamis lalu, tak sempat cari pengganti "Jika melibatkan tentang wang, apa saya faham Media Prima ada membuat bayaran royalti jutaan ringgit setiap tahun kepada MACP dan PPM untuk karya muzik dan rakaman digunakan dalam siaran radio serta televisyen. "Ini berjaya memberi imbuhan signifikan setiap tahun kepada komposer dan penulis lirik tempatan selain ahli RIM dan MPA melalui dua badan kutipan itu. Jadi apa lagi masalah dan tuntutan yang dimaksudkan itu?” ujarnya. Bagaimanapun Presiden Karyawan itu menasihati penggiat seni untuk tidak melakukan kesilapan besar dan terus menyertai program AJL bagi menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak. Sebelum ini Kmy atau Lukmanul Hakim, 34, menjelaskan mereka menarik diri selepas mendapati terdapat beberapa terma dan syarat pertandingan SFMM38 yang dirasakan tidak adil termasuk berkaitan hak cipta lagu tersebut. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!