SEBAGAI seorang pemilik syarikat produksi, penerbit Jaja Ishak merasakan dia berhak untuk memilih barisan pelakon mengikut kehendakknya. Kata Jaja dari Jaja Ishak Channel, dia yang berasal dari Pahang pastinya lebih mengutamakan bakat-bakat dari negeri itu untuk diketengahkan dalam setiap drama terbitannya. Bagaimanapun dia juga perlu akur akan kehendak stesen televisyen yang mahu pelakon tertentu untuk membarisi watak utama sesebuah drama baharu. Jaja menggabungkan bakat muda dari Pahang bersama pelakon yang sudah mencipta nama. "Secara jujurnya memang saya pilih bulu. Itu rumah produksi saya dan terpulang kepada saya siapa untuk dipilih sebagai pelakon. Selagi stesen TV setuju, maka saya rasa tiada masalah. "Jika ada pilihan pelakon dari negeri Pahang, mestilah saya akan pilih. Namun saya tidaklah menolak bakat. Kalau ada dua pelakon yang bakatnya sama hebat, dan salah seorang berasal dari Pahang, maka itulah pilihan saya," katanya kepada mStar. Dalam masa sama, bagi Jaja pemilihan pelakon asal Pahang juga adalah bagi memudahkan urusan produksi kerana kebanyakan lokasi penggambaran dijalankan di sana. ARTIKEL BERKAITAN: Penerbit minta jangan ‘pukul rata’ isu lenjan artis kerja lebih 20 jam... tapi A. Aida pula setuju ini salah produksi! ARTIKEL BERKAITAN: Isu tak bayar hutang produser, Finas akan jumpa Awesome TV mahu selesai masalah Dia juga tidak pernah berkecil hati sekiranya ada pihak kurang senang dengan pemilihannya malah yakin sesiapa pernah berkerja dengannya setuju dengan perkara sama. "Kalau ada tak mahu bekerja dengan saya gara-gara sikap pilih bulu, itu terpulang kepada mereka. Saya lebih suka bekerja dengan orang yang mudah berurusan. Itu rumah produksi saya dan terpulang kepada saya siapa untuk dipilih sebagai pelakon JAJA ISHAK PENERBIT "Saya juga bukanlah ambil pelakon kayu. Dalam produksi saya kalau mahu berlakon kena ada bakat juga," ujarnya. Dalam masa sama, Jaja juga mahu memperkenalkan keindahan negeri Pahang menerusi babak-babak dalam drama terbitannya. Bukan itu sahaja, dia juga dalam usaha untuk mencari lebih ramai bakat muda yang mahu terjun ke dunia lakonan dengan melalui platform terbaik. Jaja bangga memperkenalkan negeri kelahirannya dalam drama. "Saya pernah perkenalkan Bakat Pahang pada tahun 2017 dan ada antara mereka yang sudah mula aktif dalam dunia seni. Kalau ada bakat baru pun kami akan hantar ke kelas lakonan. "Saya pilih untuk bangunkan negeri kelahiran sendiri. Saya bangga jadi anak Pahang dan inilah peluang untuk perkenalkan keindahan Pahang kepada lebih ramai orang," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!