suria

Berkenalan di media sosial, Erwin Dawson kini bergelar suami kepada Lee Suxiu

Erwin kini sah bergelar suami kepada Suxiu.

PELAKON Erwin Dawson sah bergelar suami kepada Lee Suxiu Solleha Bazilah dalam satu majlis yang berlangsung di Singapura pada malam Rabu.

Berkenalan sejak Februari tahun lalu, Erwin atau Mohamed Erwin Shah Evan Dawson, 35, berkata hatinya terbuka untuk mendirikan rumah tangga kerana merasakan wanita berusia 29 tahun itu adalah pilihan terbaik.

Malah, Erwin berkata dia juga tidak menyangka perkenalan di laman sosial akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin.

erwin dawson 2

Erwin dan Suxiu merancang majlis perkahwinan dalam masa satu bulan.

"Kami kenal sekitar Februari (2023) sebelum jumpa pada Mac dan kemudian selepas itu terus rapat. Mulanya dia ada komen dalam satu perkongsian di media sosial dan saya ajak berjumpa untuk berbincang lanjut.

"Dalam tempoh perkenalan pun kami tidak pernah letak sebarang status bercinta. Cukup rasanya dalam hati faham perasaan masing-masing.

"Apabila sudah semakin rapat, saya rasa eloklah sekiranya kami berkahwin kerana tidak manis asyik selalu keluar bersama," katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilih rahsia hubungan cinta, Syafie Naswip sah bergelar suami dengan sekali lafaz

ARTIKEL BERKAITAN: Abbas Mahmood kini suami Youtuber asal Scotland, kagum semangat isteri dalami Islam

Terdahulu, pasangan ini melangsungkan pernikahan dalam satu majlis sederhana dihadiri oleh ahli keluarga terdekat.

Pada majlis berkenaan, Erwin menyerahkan sebentuk cincin emas sebagai mas kahwin.

Sementara itu, Erwin memberitahu mereka membuat keputusan untuk berkahwin kira-kira sebulan lalu dan tidak merancang mengadakan majlis secara besar-besaran.

Dalam tempoh perkenalan pun kami tidak pernah letak sebarang status bercinta. Cukup rasanya dalam hati faham perasaan masing-masing

ERWIN DAWSON

PELAKON

"Kami rancang majlis dalam masa sebulan sahaja. Semuanya agak terburu-buru dan kami bernikah pada hari Rabu kerana tidak dapat slot untuk hujung minggu.

"Saya dan isteri mempunyai pemikiran yang sama. Kami mahukan majlis yang sederhana sahaja. Tidak perlu diadakan secara besar-besaran.

"Cuma nanti akan ada majlis jamuan untuk saudara-mara terdekat," katanya yang turut memaklumkan Suxiu tidak mengetahui dirinya seorang pelakon dikenali di Singapura dan Malaysia.

erwin dawson 3

Erwin tidak ambil masa lama untuk melamar Suxiu sebagai isteri.

Ditanya mengenai cahaya mata, pasangan ini memberitahu mereka tidak merancang untuk mendapatkan anak dalam masa terdekat.

"Mungkin beri masa setahun atau dua sebelum kami merancang ke arah memiliki cahaya mata. Kami mahu nikmati masa berdua dahulu.

"Soal berbulan madu pun tidak rancang lagi sebab ada banyak urusan yang perlu diselesaikan. Mungkin akan akan destinasi yang dekat dahulu sebelum ke umrah," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain