suria

Konon nak bagi job, Roslan Shah rugi RM1,000 ditipu individu mengaku staf stesen TV... “Dia kata ibu sedang tenat”

Roslan tertipu dengan individu yang tidak dikenalinya.

PENGACARA dan penyanyi Roslan Shah berdepan kerugian RM1,000 selepas menjadi mangsa penipuan individu tidak dikenali baru-baru ini.

Cerita Roslan, 52, pada awalnya dia dihubungi seseorang yang memperkenalkan diri sebagai staf sebuah stesen televisyen swasta dan mahu menawarkan peluang kerja.

Bagaimanapun, individu dikenali sebagai Khuzairi Karim itu turut menyatakan hasrat mahu meminjam duit daripadanya kerana urusan kecemasan.

"Pada minggu lalu saya menerima satu panggilan yang memberitahu dia merupakan pekerja di sebuah stesen TV swasta dan ingin memberi tawaran untuk saya menjadi juri dalam salah sebuah program realiti mereka.

Perkongsian yang dimuat naik di Instastory miliknya.

Perkongsian yang dimuat naik di Instastory miliknya.

"Saya pun tidak terfikir apa-apa dan seperti biasa apabila mendapat panggilan daripada rakan media, saya memang anggap ia satu panggilan yang benar.

"Tetapi tak sangka pula petang selepas saya dihubungi, dia terus berani untuk meminta wang memberitahu ibunya sedang nazak," katanya ketika dihubungi mStar.

Roslan memberitahu dia berasa kasihan mendengarkan keluhan lelaki itu yang berkongsi cerita ibunya sedang nazak di hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas dihina rakan selebriti, Roslan Shah gembira lagu 'Rojak' akhirnya lulus siaran stesen radio RTM

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur rugi RM34,000 Ebit Lew batal hadir acara di Singapura saat akhir, Roslan Shah pula kena menjawab

Walaupun berada di Singapura, dia tetap gigih meminta bantuan daripada rakan artis iaitu Azza Elite untuk melakukan pemindahan wang terlebih dahulu kepada lelaki berkenaan.

Kata penyanyi lagu Rojak Maznah Ke Tu, dia tidak berfikir panjang untuk membantu kerana ia melibatkan nyawa seorang ibu.

"Dia telefon saya beritahu kena pulang ke kampung di Taiping kerana ibunya sedang sakit tenat. Dia kata tak cukup duit nak balik kampung dan meminta wang sebanyak RM1,000 kepada saya.

Lelaki tersebut terus berani untuk meminta wang memberitahu ibunya sedang nazak.

ROSLAN SHAH

PENGACARA & PENYANYI

"Sewaktu itu saya di Singapura dan meminta bantuan Azza untuk memindahkan wang sebanyak RM500 dahulu kepada lelaki itu. Tetapi keesokan harinya dia telefon cakap mak dia meninggal dunia dan perlukan wang lagi.

"Jadi jumlah keseluruhan wang saya sudah berikan adalah RM1,000. Saya kasihan melihatnya lebih-lebih lagi apabila pernah melalui situasi sama iaitu ibu saya juga sudah meninggal dunia," ujarnya.

Roslan bagaimanapun berkata dia mula menghidu sesuatu selepas lelaki itu menghubunginya meminta tambahan wang.

Mula mengesyaki perbuatan penipuan ini, Roslan berkata dia menghubungi rakannya yang bekerja di stesen televisyen swasta itu untuk bertanyakan hal sebenar.

Lebih mengejutkan lagi, stesen itu memaklumkan mereka tidak mempunyai pekerja bernama Khuzairi dan saat itu baharulah Roslan mengetahui dirinya sudah ditipu.

Perbualan Roslan bersama individu terbabit.

Perbualan Roslan bersama individu terbabit.

"Saya halalkan semua wang yang sudah diberikan kepada lelaki itu tetapi apa yang saya kesalkan individu itu menipu menjadi orang lain untuk memperdayakan saya.

"Saya berharap kisah ini dapat memberi kesedaran dan pengajaran buat artis lain supaya tidak mudah mempercayai orang lain terutama sekali individu yang mahu meminta bantuan kewangan," katanya.

Sebelum itu, Roslan memuat naik sebuah hantaran di Instastory miliknya memberitahu dirinya tertipu kerana meminjamkan wang sebanyak RM1,000 kepada individu yang tidak dikenali.

Roslan turut memaparkan bukti pembayaran yang dibuat dan memaklumkan individu tersebut turut meminta nombor telefon artis lain termasuk Taufik Batisah dan Didie Alias.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain