suria

[V] Mierul Aiman terkejut gosip bercinta dengan cucu kenamaan, tak pernah selidik latar belakang kenalan

Mierul masih solo dan tidak terfikir untuk bercinta dalam masa terdekat.

PELAKON Mierul Aiman terkejut apabila mengetahui timbul khabar angin mendakwa dia kini sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan gadis yang merupakan cucu kepada seorang kenamaan atau VVIP.

Menjawab mengenai perkara itu, Mierul atau Mohammad Amirul Aiman Norazman, 26, berkata dia terbuka untuk berkawan dengan sesiapa sahaja dan tidak pernah mengambil tahu latar belakang setiap daripada mereka.

"Saya betul-betul tidak pasti dan terkejut dengan dakwaan itu. Saya berkawan dengan semua orang tapi tidak pernah pula selidik mereka anak sesiapa.

size NP 1 (17)

Mierul ketika dijumpai di lokasi set penggambaran Projek: Exit.

"Saya sangat berbesar hati untuk berkenalan dengan sesiapa sahaja. Saya berpegang kepada prinsip berbudi kepada semua orang. Kita buat baik untuk dibalas baik," katanya kepada mStar.

Mierul berkata sedemikian ketika ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Project: Exit, Kuala Lumpur pada pagi Jumaat.

Dalam pada itu, Mierul mengakui dia masih belum berpunya dan akan berkongsi kepada umum sekiranya sudah dimiliki.

ARTIKEL BERKAITAN: Mierul Aiman tunai janji kepada ibu bapa, ijazah bidang kejuruteraan mekanikal kini dalam genggaman

ARTIKEL BERKAITAN: Idam gadis ‘mix’, ini ciri-ciri wanita pilihan Mierul Aiman!

"Jujur saya cakap, setakat ini tiada yang istimewa. Tak tahulah jika ada yang terluka dengan kenyataan ini. Sekarang saya hanya fokus kepada skrip, kerjaya, adik-adik dan ibu ayah," jelasnya.

Sementara itu, anak sulung daripada tiga beradik ini juga memberitahu dia tidak pernah berasa rimas apabila sering disoal tentang kisah percintaan.

Malah pelakon ini juga memberitahu kali terakhir dia bercinta adalah ketika di bangku sekolah.

"Oh tidak rimas, bagi saya industri ini seperti pejabat, ia besar. Saya tiada rahsiakan apa-apa. Kalau berahsia cuma apa yang saya buat di rumah. Selebihnya saya okay bercerita apa-apa yang terlibat dengan kerjaya saya.

size NP 1 (16)

Mierul bersama Shasha dan Naim antara pelakon menjayakan Projek: Exit.

"Kalau suatu masa nanti saya bercinta, kalau ada rezeki jodoh sampai awal. Waktu sekolah dulu cinta monyet pun saya tak bercerita banyak pun sebab tak tahu benda itu akan tertulis dan hanya melalui proses itu," katanya.

Terdahulu, timbul khabar angin dalam kalangan penggiat industri kononnya Mierul sedang menjalin hubungan istimewa dengan seorang gadis yang juga merupakan cucu seorang kenamaan.

Dalam perkembangan lain, Mierul bakal tampil dalam drama terbitan Astro Shaw iaitu Project: Exit yang mengangkat isu sosial di asrama pemulihan akhlak.

Drama enam episod ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Naim Daniel, Shasha Abedul, Kimberly Chuah dan Nabila Huda.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan You

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain

Pelakon Lan Zailan meninggal dunia