RINDU Bayangan nyanyian Jay Jay bersama kumpulan Carefree antara karya yang cukup meninggalkan kesan di hati pendengar malah ia antara lagu malar segar dan tidak ditelan dek zaman. Lagu itu juga membuatkan Jay Jay terus mendapat tempat di hati peminat malah selepas meninggalkan kumpulan Carefree, karier terus gemilang dengan tujuh buah album solo. Buktinya, Jay Jay pernah memenangi anugerah Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1988 dan Vokal Terbaik Lelaki pada Anugerah Industri Muzik 1998. Dua dari kiri: Jay Jay dan Sudirman sempat bergambar kenangan pada tahun 1986. Tidak cukup itu, Jay Jay juga pernah memenangi kategori Pop Rock pada Anugerah Juara Lagu pada tahun 1998 menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah. Di sebalik semua kejayaan dan populariti dikecapi, ramai tidak mengetahui Jay Jay sebenarnya pernah bekerja di belakang tabir dengan bermain bass untuk dua penyanyi legenda iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad dan Anita Sarawak. Cerita Jay Jay atau Mohd Fauzi Darus, 67, kesempatan bekerja di luar negara bersama dua bintang tersohor itu banyak memberinya pengalaman dan mengajarnya cara bergelar seorang bintang. Katanya lagi, kesempatan mengiringi persembahan Sudirman dan Anita juga memberi peluang dia melihat dan mendalami budaya asing di luar negara. ARTIKEL BERKAITAN: Diserang batuk berpanjangan, Jay Jay menangis kerana tidak mampu menyanyi lagu nada tinggi... "Saya tak pernah alami sakit seteruk ini" ARTIKEL BERKAITAN: Jay Jay & Carefree Tidak Pernah Bersengketa Ia kata Jay Jay antara memori terbaik sepanjang bergelar anak seni. "Saya ini pemuzik, saya seronok bermain muzik dan pernah ke luar negara ikut Allahyarham Sudirman dan Anita Sarawak. "Ketika bekerja dengan Anita, merata negara saya sudah pergi! Satu Asia dah pusing... Bekerja dengan Sudirman pun dapat gaji bulanan dan bukan ikut setiap persembahan. "Kalau hanya fokus jadi penyanyi belum tentu saya berpeluang pergi ke luar negara. Selain Anita dan Sudirman, saya juga pernah mengiringi persembahan Datuk M. Nasir di United Kingdom," katanya kepada mStar. Zaman dulu bayaran menyanyi tidak semewah seperti sekarang. JAY JAY PENYANYI/PEMUZIK Selain dua penyanyi hebat itu, Jay Jay juga pernah bekerjasama dengan artis terkenal lain seperti Datuk Awie dan kumpulan Kristal. "Walaupun saya lebih dikenali sebagai penyanyi tetapi saya memulakan karier sebagai pemuzik iaitu pemain bass. "Saya pernah bermain bass untuk rakaman album Awie dan album pertama Kristal. Ramai yang tak tahu kerja saya sebagai pemuzik," jelasnya. Pun begitu kata Jay Jay, karier sebagai pemuzik itu juga pernah dipandang rendah oleh segelintir pihak yang merasakan dia seolah-olah merendahkan tarafnya sebagai penyanyi popular. Jay Jay mula aktif dalam industri seni sejak tahun 1976. Namun bagi Jay Jay, kerjaya sebagai pemain bass yang membuka pelbagai peluang dalam karier termasuk bergelar penyanyi selain dapat menambah pendapatan. "Bagi saya ini bukan soal wang tetapi minat saya terhadap muzik. Saya memang dibayar tetapi tidaklah sebanyak kalau saya menyanyi. "Orang selalu pandang rendah saya bermain bass tetapi saya dapat menjana pendapatan. Zaman dulu bayaran menyanyi tidak semewah seperti sekarang," katanya. Selepas 45 tahun berkecimpung dalam bidang seni, Jay Jay berpuas hati dengan semua pencapaian pernah diraihnya. Jay Jay puas dengan semua pencapaian diraih sepanjang bergelar artis. Malah jika ditakdirkan dia 'pergi', sudah tidak ada apa yang dikesalinya. "Kita penyanyi di Malaysia ini, peringkat tertinggi yang cuba dicapai adalah membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas selain Simfoni Istana Budaya dan orkestra. "Sebagai penghibur kita mempunyai tahap kerjaya sendiri. Bagi saya sekiranya sudah membuat persembahan di tiga tahap ini ia sudah cukup membuatkan saya puas hati dan bangga," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube TONTON VIDEO PILIHAN!