JANGKITAN mata berulang membuatkan penyanyi Amira Othman mengambil keputusan menjalani pembedahan lasik pada Selasa. Amira atau Nadia Amira Othman, 31, berkata, jangkitan pada matanya berpunca daripada penggunaan kanta lekap terlalu kerap. Selain itu, solekan tebal pada mata juga sering menyebabkan matanya menjadi merah dan sakit. Amira berkongsi matanya mengalami jangkitan akibat penggunaan kanta lekap dan solekan tebal. "Saya buat keputusan buat pembedahan lasik sebab saya tak mahu lagi mengalami jangkitan pada mata. "Setiap kali pakai kanta lekap, mata saya akan jadi merah dan sakit. "Mata saya juga jadi sensitif sebab terdedah kepada bahan kimia yang ada pada produk solekan," katanya ketika dihubungi mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Puji mata cantik siap minta cium, Amira Othman menggigil terima gangguan seksual semasa sedang makan ARTIKEL BERKAITAN: Mengaku kuat cemburu, Amira Othman tak mahu pilih pelakon sebagai suami Dalam pada itu, Amira memberitahu keadaannya semakin baik selepas pembedahan namun masih perlu lebih peka tentang penjagaan kesihatan mata. "Keadaan saya sekarang lebih baik dan penglihatan saya juga semakin jelas tapi doktor nasihat jangan terdedah kepada cahaya dan asap," ujarnya. Amira bersyukur dengan keadaan penglihatannya kini. Jelas Amira, dia bersyukur dengan keputusannya kerana tidak perlu lagi bergantung kepada kanta lekap atau cermin mata. "Pada usia 31 tahun, akhirnya saya tidak lagi perlu memakai cermin mata. "Walaupun sudah menjalani prosedur lasik, saya tidak mahu nikmat ini disia-siakan, jadi saya akan lebih berhati-hati selepas ini," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!