ARTIS serba boleh Jaafar Onn meninggal dunia ketika menjalani prosedur endoskopi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor pada pagi Rabu. Anak angkatnya iaitu Mohamad Hanif Hashim, 30, memberitahu prosedur yang dilakukan Jaafar, 73, berisiko tinggi susulan jantung Allahyarham berada dalam keadaan lemah. Katanya, Allahyarham terpaksa menjalani prosedur tersebut susulan mengalami pendarahan teruk semasa membuang air besar. Hanif setia menemani Allahyarham di hospital. “Pagi tadi papa ada melalui prosedur endoskopi dan doktor memang ada beritahu prosedur itu berisiko sebab Papa ada masalah jantung lemah tapi terpaksa buat sebab pendarahan. “Bacaan jantung dia memang tinggi sampai 140 dan masa buat endoskopi sekitar pukul 10 pagi, Papa mengalami serangan jantung dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.32 pagi tadi. "Papa mulanya mengalami tekanan darah rendah dan dalam pada sama dia juga buang air besar berdarah... Pendarahan itu terlampau banyak dan tak berhenti,” katanya kepada mStar. Hanif berkongsi perkara itu ketika ditemui di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor. Kata Hanif, pendarahan dialami Allahyarham sebelum ini berkemungkinan berpunca dari pengambil ubat tahan sakit berpanjangan. ARTIKEL BERKAITAN : Jaafar Onn meninggal dunia ARTIKEL BERKAITAN : Jaafar Onn buang air besar berdarah, kini di zon kritikal Hospital Serdang Jelasnya, Allahyaraham mengambil ubat berkenaan bagi menangani sakit lutut yang dialami sejak tahun lalu. “Kemungkinan pendarahan itu disebabkan pengambilan ubat tahan sakit yang diambil oleh papa. Ikutkan memang dah lama Papa ambil ubat itu, sebelum saya jaga dia lagi. “Ubat tahan sakit itu dia makan sebab sakit lutut. Bulan puasa tahun lepas dia dapat tahu ada masalah jantung. Masalah jantung tu juga menyebabkan kakinya bengkak. “Berak berdarah tu pula mungkin disebabkan ada ulser dalam perut. Patutnya bulan dua ada rawatan susulan tapi tak dapat pergi sebab ada urusan lain. Lagipun ketika itu, arwah rasa pembuangan dia sudah baik,” ujarnya. Allahyarham Jaafar meninggal dunia pada usia 73 tahun. Sementara itu, jenazah akan diuruskan di hospital sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga di Tanjung Ganding, Muar, Johor pada petang Rabu untuk dikebumikan. Terdahulu, kesihatan Jaafar dilaporkan merosot sebelum ditahan wad HSIS selepas mengalami pendarahan semasa membuang air besar. Untuk rekod, Untuk rekod, Jaafar memulakan karier seninya sekitar tahun 1970-an dengan menyertai sebuah kumpulan tarian yang popular zaman itu dan pernah membuka kelas tarian dikenali Maya Studio, bertempat di Bangsar. Pada 1973, dia dipelawa pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyertai rancangan masakan Dunia Wanita yang ketika itu dihoskan oleh Datin Paduka Zaleha Ismail. Jaafar Onn seorang artis yang disegani ramai. Bermula dari situ, nama Jaafar dikenali ramai sebagai tukang masak. Tidak hanya berbakat sebagai tukang masak, Jaafar juga melebarkan sayap sebagai penyanyi dan pelakon pada era 1980-an apabila muncul dengan telefilem pertama lakonannya Lagenda Lela Manja. Allahyarham juga cukup terkenal dengan drama bersiri ikonik Cili Padi menerusi watak Cikgu Jaafar yang ditayangkan pada pertengahan 1990-an. Ia turut menampilkan barisan pelakon seperti Anne Ngasri, Melissa Saila, Tam Suhaimi dan Nik Fariz Nik Fadzil. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!