suria

Tiada apa lagi nak dikejar sebagai artis, Awie mahu lebihkan masa untuk anak-anak

Awie mahu memberikan tumpuan sepenuhnya buat keluarga.

SUDAH hampir empat dekad berkecimpung dalam dunia hiburan, penyanyi Datuk Awie memberi tempoh sembilan tahun lagi sebelum dia mahu berehat.

Menurut Awie atau Ahmad Azhar Othman, 56, sebagai penyanyi dia sudah tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dikejar sebaliknya mahu melihat anak-anak membesar di depan mata.

Bagaimanapun, Awie memaklumkan dia tidak akan bersara sebaliknya sekadar mahu mengimbangi jadual kerja dan masa bersama keluarga.

"Bukan bersara tapi sudah terlalu lama saya berada dalam industri hiburan, daripada umur saya muda saya tak merasa kehidupan remaja dan dewasa.

awieq - 1

Awie bersama isteri dan anak-anaknya.

"Saya hanya duduk di atas pentas untuk menghiburkan orang. Tahun depan genap 40 tahun karier nyanyian saya. Ia satu jangka masa yang lama.

"Apa lagi yang saya nak cari? Dah tak ada nak dikejarkan lagi. Saya fikir untuk teruskan kehidupan dengan meniaga dan melihat anak membesar," katanya kepada mStar.

Awie berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama rumah produksi Merah yang diadakan di Putrajaya, Selangor pada Ahad.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Di Penjara Janji ini memberitahu rutin harian sebagai seorang anak seni terlalu sibuk sehingga dia tidak mempunyai masa bersama keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Awie pertama kali galas tugas pengarah, Rebel: Berontak Untuk Berotak bukan sindir mana-mana pertubuhan

ARTIKEL BERKAITAN: Awie pernah hidap kanser buah pinggang, empat bulan fikir sebelum setuju jalani pembedahan

"Kalau ada konsert besar, saya bangun pagi dan pergi gim, lepas habis gim makan dan terus pergi studio.

"Siang saya berlatih menyanyi, berehat waktu Maghrib dan malam saya teruskan berlatih lagi.

"Masa bila saya nak luangkan masa bersama anak dan isteri saya? Dua bulan latihan, dua bulan juga saya berada di studio... Bertahun-tahun saya buat perkara sama. Saya rasa sudah cukuplah," ujarnya.

Sementara itu, Awie memaklumkan biarpun anak-anaknya memahami kesibukan tugas sebagai seorang artis, sebagai bapa dia dia sedih kerana tidak berkesempatan melihat perkembangan anak-anak.

Tahun depan genap 40 tahun karier nyanyian saya. Apa lagi yang saya nak cari? Dah tak ada nak dikejarkan lagi.

AWIE

PENYANYI

"Setiap hari minggu saya keluar pergi menyanyi. Anak-anak saya yang masih kecil buat konsert di tadika pun saya tiada. Saya pun ada konsert.

"Setiap hari minggu saya keluar pergi menyanyi. Sedih sebenarnya hidup seperti ini. Walaupun anak-anak memahami, tetapi sebagai bapa saya juga terasa.

"Saya tidak dapat buat seperti bapa-bapa yang lain lakukan aktiviti bersama anak-anak mereka," katanya.

Untuk rekod, Awie mendirikan rumah tangga dengan Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin pada 7 Oktober 2016 di Songkhla, Thailand.

awie2 - 1

Awie bakal menganjurkan konsert solo pada Ogos depan.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki pada 2020 dan bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi.

Menerusi perkahwinan kedua, Awie bernikah dengan Rozana Misbun pada 20 Jun 2005, mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 19, Putra Ahmad Rezzki, 16, dan Puteri Qasseh Antasha, 14, sebelum bercerai pada 1 November 2014.

Selain itu, Awie juga memiliki dua anak perempuan hasil perkahwinan pertamanya dengan penyanyi Arni Nazira iaitu Puteri Aleeya Antasha, 24, dan Putri Aleeda Antasha, 22 tahun.

Dalam perkembangan lain, Awie bakal menganjurkan konsert solo 'Journey' yang akan berlangsung di dua lokasi iaitu Star Theatre, Singapura pada 27 Julai depan sebelum di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Ogos.

Konsert tersebut merupakan satu bingkisan peribadi perjalanan selama 30 tahun penyanyi berkenaan sebagai anak seni.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain