suria

Gotong royong hari terakhir Ramadan tradisi keluarga Fizz Fairuz, imbau kenangan bersama arwah bapa

Fizz menyifatkan momen persiapan raya merupakan erti Aidilfitri yang sebenar.

BIASANYA ramai akan membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri beberapa hari sebelum tibanya 1 Syawal agar tidak kelam kabut.

Bagaimanapun lain pula untuk pelakon dan penyampai radio Suria FM, Datuk Fizz Fairuz yang akan melakukan segala persiapan pada hari terakhir umat Islam berpuasa.

Fizz atau Mohd Fairuz Zainal Abidin, 44, berkata, sudah menjadi tradisi keluarganya bergotong royong mengemas rumah dan memasak pada hari berkenaan yang diteruskan sehingga ke hari ini.

Jelasnya suami kepada pelakon Datin Almy Nadia ini, saat itu disifatkan sebagai erti Aidilfitri yang sebenar.

Untitled design (4)

Fizz mangakui gotong-royong mengemas rumah dan memasak sudah menjadi tradisi keluarga.

"Saya paling tk sabar nak berkumpul dengan adik-beradik, buat aktiviti seperti bakar lemang, masak rendang, cat rumah dan memasang langsir.

"Sejak arwah bapa saya masih hidup sampailah sekarang, ini sudah dikira macam tradisi buat keluarga saya.

"Kami pasti akan nanti aktiviti sehari sebelum raya sebab bagi kami itulah Aidilfitri yang sebenar," katanya kepada mStar.

Tambah Fizz, walaupun Allahyarham bapanya telah pergi namun dia dan adik-beradiknya tetap melakukan aktiviti tersebut tetapi dalam skala yang kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Fizz Fairuz minta ibu bapa jangan berkira dengan anak, majlis graduasi di hotel bukan buat setiap hari

ARTIKEL BERKAITAN: Fizz Fairuz syukur jadi penyampai radio, kurang ‘job’ lakonan kerana disangka mahal ada gelaran Datuk

Pelakon filem Mat Tudung itu memberitahu dia tidak mahu melepaskan peluang merasai momen yang hanya datang sekali setahun.

"Walaupun arwah abah sudah tiada, saya ajak abang dan adik saya untuk buat juga walaupun secara kecil-kecilan, saya tidak mahu lupakan tradisi keluarga kami.

"Ia kenangan yang tak mahu saya lepaskan sebab ia hanya setahun sekali," katanya.

Arwah bapa Fizz, Zainal Abidin meninggal dunia pada 2008 pada usia 65 tahun akibat masalah kesihatan.

Untitled design (3)

Fizz berkongsi yang dia akan pulang ke kampung halamannya dahulu sebelum ke kampung Almy.

Sementara itu, Fizz memberitahu tahun ini dia akan menyambut Aidilfitri di Pahang terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah keluarga mentua di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Fizz menjayakan kempen Raikan Yang Dirai oleh Suria FM sepanjang Syawal 2024 ini.

Dia membintangi Drama Raya Suria 2024 berjudul Suami Raya bersama penyampai Suria FM yang lain termasuk Cik Piah, Sharifah Shahirah dan DJ Lin.

Bukan itu sahaja, Fizz akan ke udara setiap Isnin hingga Khamis memerihakan lebaran dalam segmen Morning Morning Raya Suria bersama Ajak dan Kai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain