PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menjelaskan cerita sebenar yang berlaku disebalik tabir Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza yang berlangsung pada Mac lalu. Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 45, berkata, dia tidak menyangka sedutan tersebut menjadi tular di media sosial sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen. Kata Siti, dia bukanlah berada dalam keadaan marah sebaliknya hanya memberitahu kru di belakang pentas bahawa monitor telinga atau ear monitor yang digunakan masih belum dihidupkan. "Saya tidak sangka pula momen belakang pentas yang disiarkan dalam konsert saya mendapat perhatian dan dijadikan berita. Ada yang kata saya marah (reaksi dan mimik muka dalam video tanpa suara). Siti sentiasa ingin memberikan persembahan terbaik buat penonton. "Bila baca komen, ala janganlah ambil serius sangat tau, saya tak marah pun. Itu muka saya cuak atau cemas. Anda boleh tengok berapa saat je LED itu terbuka dan saya kena menyanyi. "Bayangkan kalau ear monitor yang saya pakai tidak dibuka. Ear monitor sangat penting untuk seorang penyanyi mendengar suara dan muzik," katanya. Siti berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang di muat naik di Instagram miliknya pada Selasa. Dalam pada itu, Siti juga memberitahu dia terpaksa memuat naik video asal agar tidak ada sebarang spekulasi yang dibuat di media sosial. ARTIKEL BERKAITAN: Air mata Siti Nurhaliza tumpah kenangkan Gaza, dapat beli baju raya untuk kanak-kanak di Rafah ARTIKEL BERKAITAN: Persiapan fokus keperluan anak-anak, Siti Nurhaliza hanya beli sehelai baju baharu Katanya lagi, dia bersikap profesional bagi memastikan konsert tersebut berjalan lancar. "Saya muat naik video sebenar supaya tiada spekulasi lagi, saya pun benarkan video tersebut disiarkan dalam siaran Astro kerana saya tahu ada peminat yang mahu melihat situasi dibelakang pentas. "Saya tak marah pun, itu nada suara saya bagi memastikan ear monitor dibuka dengan segera dan berjalan secara profesional ke depan pentas, terus menghayati dan menghiburkan penonton," ujarnya. Penyanyi lagu Purnama Merindu ini bagaimanapun berkongsi setiap persembahan atau konsert yang dilakukan mempunyai cabaran dan pengalaman berbeza. Ini kerana sebagai penyanyi mereka perlu memastikan segala persiapan berjalan lancar termasuk bahagian teknikal setiap kali menganjurkan persembahan. Siti akui berdepan pelbagai cabaran ketika melakukan persembahan. "Setiap persembahan atau konsert ada cabaran dan pengalaman, kena cekap dan pantas menangani. Saya sendiri ada pelbagai pengalaman di belakang pentas dalam konsert-konsert sebelum ini. "Suasana di belakang pentas ada 1001 cerita, hanya mereka yang bekerja sahaja mengetahui setiap debar memberikan yang terbaik, mengejar masa, memastikan semuanya tepat masa dan sudah tentu semua hal tenikal perlu berjalan sempurna," katanya. Sebelum ini, tular di media sosial memaparkan situasi agak tegang berlaku di belakang pentas sewaktu konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza berlangsung pada 9 Mac lalu. Menerusi perkongsian video tersebut, mimik muka Siti dikatakan begitu tegas sewaktu berkomunikasi dengan salah seorang pekerja di bahagian teknikal di belakang pentas. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube TONTON VIDEO PILIHAN!