suria

Yasin Sulaiman anggap prosiding rayuan bazir masa dan tenaga, tulis buku pengalaman di penjara dan Hospital Bahagia

Yasin akur dengan prosedur selepas pihak pendakwaan membawanya ke Mahkamah Tinggi.

PENYANYI nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman menyifatkan prosiding rayuan yang berlangsung pada pagi Jumaat sebagai membazir masa dan tenaga.

Ia susulan Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 24 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula rayuan keputusan lepas dan bebas Yasin.

Menurut Penolong Kanan Pendaftar, Azmi Aman penetapan tarikh tersebut dibuat selepas mahkamah menerima rayuan daripada pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim.

yasin 13

Yasin bakal kongsi pengalaman menerusi buku tulisannya.

Sementara itu, Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 49, berkata segala penjelasan telah dibuktikan di Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Selangor pada November tahun lalu.

Bagaimanapun, dia akur dengan prosedur selepas pihak pendakwaan membawanya ke Mahkamah Tinggi.

“Masa buat perbicaraan itu hari, semua yang beri keterangan pun termasuk saksi-saksi adalah wakil kerajaan sama ada polis, Jabatan Kimia malah doktor merawat saya adalah hospital kerajaan iaitu Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

“Jadi, apa yang hendak saya cakapkan adalah tiada yang terkhilaf. Semua sudah pun beri keterangan yang sempurna.

ARTIKEL BERKAITAN: Lepas dan bebas 3 tuduhan dadah, tapi Yasin Sulaiman kena masuk Hospital Bahagia

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Yasin Sulaiman sempat gubah 13 lagu dalam tahanan penjara, sudah fikir calon penyanyi

"Mahkamah Tinggi nanti akan mendapati bahawa keputusan dibuat Mahkamah Sesyen adalah tepat, benar, tiada apa yang tertinggal dan terkhilaf,” katanya ketika ditemui pemberita.

Sementara itu, penyanyi lagu Mimpi Laila memberitahu pengalamannya sepanjang berada di penjara tidak akan disia-siakan sebaliknya akan dikongsi dalam buku yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

“Saya ada tulis buku, belum nak siap lagi, ia merupakan pengalaman sepanjang saya berada penjara dan di hospital bahagia.

"Nama buku itu ‘Dari Pentas Juara Ke Penjara’ namun saya tidak pasti, dapat terbitkan tahun ini atau tarikh lain,” katanya.

yasin 12

Yasin lepas dan bebas tiga pertuduhan berkaitan dadah.

Pada 29 November 2023, Yasin menarik nafas lega selepas dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas tiga tuduhan kes dadah.

Bagaimanapun dia ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.

Manakala pada 6 Julai 2022, Yasin terselamat apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain