BERSYUKUR menjadi insan bertuah dipilih menunaikan ibadah haji tahun ini, pelakon Wan Maimunah mengakui pada awalnya dia terkejut apabila berita baik itu dimaklumkan oleh Lembaga Tabung Haji, Ramadan lalu. Menyangka ia panggilan palsu daripada scammer, Wan Maimunah atau nama sebenarnya Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 70, bagaimanapun menangis gembira apabila mengetahui rezekinya menjadi tetamu Allah tahun ini. "Memang terkejut hanya Allah je yang tahu perasaan saya apabila terpilih tetamu-Nya. Wan bersyukur doanya untuk tunai haji dimakbulkan. "Itu yang saya awalnya saya 'meraung', ingatkan scammner yang hubungi saya. Tetapi ternyata rezeki saya tahun ini,” kata Wan ketika dihubungi mStar. Sebak bercerita bakal menjejakkan kaki di Tanah Suci, Wan Maimunah meluahkan rasa syukur kerana doanya ketika mengerjakan umrah dua tahun lalu dimakbulkan Allah. Malah, pelakon yang lebih mesra disapa ibu itu sentiasa berdoa agar dapat menyempurnakan rukun Islam kelima ini sebelum menghembuskan nafas yang terakhir. "Waktu umrah yang lalu (Disember 2022), semua pergi ziarah tapi saya tak pergi sebab tak puas duduk di dataran Kaabah. Saya menghadap Multazam dari pukul 9 pagi sampai solat Zohor. ARTIKEL BERKAITAN: Reda dijemput Ilahi ketika umrah, Wan Maimunah nak pakai persalinan putih sepanjang di Makkah ARTIKEL BERKAITAN: Berjurai air mata Wan Maimunah terharu terima bantuan - “Alhamdulillah, setiap yang baik pasti akan dibalas kebaikan” "Selalu kalau berdoa seolah bercakap dengan Allah, saya menangis tak tahu macam mana boleh terkeluar dari mulut saya tapi Dia Maha Segala-galanya. "Saya berdoa, Ya Allah aku merayu kalau dah sampai masa ambil nyawa aku sekarang, jangan ambil dulu biarlah aku tunaikan rukun Islam kelima. Allah maha besar dan dengar doa saya," jelasnya. Dalam pada itu, Wan Maimunah turut menafikan dakwaan dia mengerjakan ibadah haji atas tajaan. Sebaliknya, dia menggunakan wang hasil titik peluhnya sendiri. Wan bakal tunaikan haji pada 10 Mei ini. Malah Wan juga sempat menitipkan pesanan jika dirinya tidak kembali, dia berharap sesiapa yang mengenalinya cukup sekadar mendoakan dirinya. "Pergi dengan hasil titik peluh saya dan bukannya tajaan mana-mana pihak. "Kalau pergi saya tak kembali, saya bersyukur dan mohon kepada sesiapa yang mengenali diri saya, cukuplah sekadar sedekahkan surah al-Ikhlas buat saya," ujarnya. Dalam perkembangan lain, pelakon yang sinonim dengan drama air mata ini dijangka akan berangkat ke Tanah Suci pada 10 Mei depan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube TONTON VIDEO PILIHAN!