suria

Awie tak patah semangat untuk terus bikin filem, kesal penonton bandingkan ‘Rebel’ dengan karya bajet besar

Awie tidak patah semangat untuk terus berkarya.

PELAKON dan pengarah Datuk Awie berkata dia tidak patah semangat untuk terus berkarya meskipun filem arahan pertamanya Rebel: Berontak Untuk Berotak menerima pelbagai reaksi daripada penonton.

Menurut Awie atau Ahmad Azhar Othman, 56, sebagai anak seni dia terbuka menerima maklumbalas yang diberikan dan mengambil pengalaman ini untuk menghasilkan naskhah yang lebih baik.

“Saya akan terus mengarah walaupun kutipan filem Rebel dilaporkan sederhana kerana itu adalah asam garam dalam pembikinan filem.

“Maklumlah, saya sendiri sudah berlakon berpuluh filem dan ada filem lakonan berjaya dan sebaliknya. Itu adalah perkara biasa dalam pembikinan filem," katanya.

WhatsApp Image 2024-05-08 at 7.47.23 PM

Awie terbuka menerima maklumbalas yang diberikan.

Dalam pada itu, Awie memohon agar penonton tidak membuat perbandingan dengan filem bergenre berat kerana produksinya berdepan dengan peruntukan bajet yang diberikan.

Kata Awie, sekiranya diberikan bajet yang lebih besar sudah pasti dia akan memberikan hasil yang lebih baik.

“Bajet filem Rebel sederhana berbanding filem lain yang memperuntukkan bajet berganda lebih besar.

“Saya mengarah filem ini mengikut peruntukan bajet, bukannya syok sendiri dan itulah hasilnya. Takkan saya nak buat dengan terlebih bajet pula?

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Rebel: Berontak Untuk Berotak’ bukan angkat pengaruh buruk, Awie minta tonton dulu baru komen

ARTIKEL BERKAITAN: Dah lama MK idamkan watak jahat, syukur akhirnya dapat tunjuk dalam ‘Rebel: Berontak Untuk Berotak’

“Kalau dapat bajet lebih besar, mungkin macam-macam benda saya boleh buat,” ujarnya.

Sementara itu, Awie turut berharap peminat dapat memberikan sokongan terhadap filem Rebel yang kini sedang ditayangkan di pawagam tanah air.

Jelas Awie, Rebel membawa mesej positif dalam mengupas isu masyarakat yang berlaku hari ini.

“Filem Rebel memiliki mesej dan pengajaran berguna yang mahu disampaikan kepada penonton.

“Antara mesej disampaikan di mana orang selalu menuding jari pada mereka yang nakal dan jahat, tapi apa punca mereka jadi begitu?

WhatsApp Image 2024-05-08 at 7.49.38 PM

Awie bersama barisan pelakon filem Rebel: Berontak Untuk Berotak.

“Takkan mereka dilahirkan ke dunia terus nak jadi nakal dan jahat? Mesti ada sebab atau keadaan yang memaksa jadi begitu,” katanya.

Untuk rekod, Rebel: Berontak Untuk Berotak diterbitkan oleh Wau Productions Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd dengan menampilkan Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama.

Ia turut dibintangi Shiqin Kamal, Noralbaniah, Azlan Komeng dan Awie sendiri.

Rebel: Berontak Untuk Berotak menemui penonton pawagam di seluruh negara sejak 2 Mei lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain