suria

Tak bayar untuk masuk radio Indonesia, Roslan Shah terharu lagu ‘Rojak Maznah Ke Tu’ duduki tangga kedua carta

Roslan terkejut lagunya mendapat sambutan.

PENANGAN lagu Rojak Maznah Ke Tu benar-benar memberi impak kepada kerjaya nyanyian Roslan Shah apabila single itu berjaya menduduki senarai lima lagu popular dalam carta sebuah stesen radio di Bandung, Indonesia.

Terharu dengan sambutan yang diterima, Roslan, 52, juga tidak menyangka lagu berkenaan diterima baik meskipun dia tidak pernah bertemu dengan mana-mana pihak dari stesen berkenaan.

"Segalanya bermula apabila saya menjadi tetamu di sebuah stesen radio di Batam, dari situ ramai peminat Indonesia yang mula kenal lagu saya. Kemudian saya dimaklumkan stesen radio di Bandung pula mahu lagu berkenaan untuk dimainkan.

roslan shah 2

Lagu Rojak Maznah Ke Tu terus lonjakkan nama Roslan.

"Memang saya terkejut sebab saya tidak pernah ke sana atau berjumpa dengan pihak radio berkenaan. Tiba-tiba sahaja yang mahukan lagu itu. Malah saya diberitahu lagu itu juga mendapat saingan sengit dan kini menduduki nombor dua dalam carta mingguan," katanya kepada mStar.

Roslan berkongsi perkara tersebut selepas menerima khabar baik daripada pihak radio Cakra FM yang beroperasi di Bandung memaklumkan lagunya kini berada dikedudukan kedua selepas sebulan dimainkan.

Dalam masa sama pengacara asal Singapura ini juga menepis dakwaan kononnya dia sanggup berbelanja besar membayar lagu tersebut untuk dimainkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Konon nak bagi job, Roslan Shah rugi RM1,000 ditipu individu mengaku staf stesen TV... “Dia kata ibu sedang tenat”

ARTIKEL BERKAITAN: Roslan Shah serik tolong pengikut IG, ramai sanggup menipu demi dapat duit

Baginya kuasa media sosial dan sokongan peminat sudah cukup membukti dia juga mampu bersaing meskipun kini banyak lagu-lagu baharu dari penyanyi lain.

"Macam mana saya nak bayar sedangkan tidak kenal orang-orang di sana. Mereka sendiri yang mahukan lagu itu. Jadi tidak timbul isu saya bayar untuk lagu dimainkan.

"Saya juga sudah mendapat undangan untuk berjumpa dengan peminat di sana. Tidak sabar rasanya untuk melihat sendiri sambutan yang diberikan.

roslan shah 3

Roslan akan kembali merakamkan lagu baharu.

"Mungkin hanya mengenali di sosial media dan cerita di internet, lagu saya ini berjaya menambat hati pendengar," ujarnya.

Lagu ciptaan bersama Pak Dicky dan Akie The Flow itu juga turut dimainkan di beberapa stesen radio Malaysia selain Brunei.

Susulan sambutan hangat yang diterima, Roslan dan Pak Dicky sekali lagi akan bekerjasama menghasilkan lagu baharu dalam masa terdekat.

"Buat masa sekarang saya masih dalam perancangan untuk menyiapkan muzik video lagu Rojak Maznah. Lagu baru pula sudah ada dan saya akan menjalani proses rakaman di Jakarta pada Ogos nanti," ceritanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain