suria

Nabil Mentor alami kekejangan selepas solat Subuh, keluarga masih menanti hasil bedah siasat

Nabil meninggalkan seorang balu dan dua orang anak perempuan.

PENYANYI dan pelakon Nabil Zamanhuri sempat menunaikan solat subuh sebelum menghembuskan nafas terakhir pada pagi Ahad.

Isteri Allahyarham iaitu Adelia Citra Hapsari, 36, berkata, Nabil juga mengalami kekejangan ketika baring di atas katil sebelum dia cuba memberi bantuan pernafasan dan menelefon ambulans.

Bagaimanapun kata Adelia, hasil pemeriksaan paramedik mengesahkan Nabil sudah tidak bernyawa.

isti nabil 1

Adelia kongsi kembali keadaan Nabil di saat akhir.

“Selepas selesai solat Subuh dia baring di sebelah saya dan selepas saya ambil wuduk, saya nampak dia mengalami kekejangan.

“Pada awalnya saya ingat dia sedang bermain dengan anak tapi bila tengok dia kekejangan saya mula panik dan cuba beri bantuan pernafasan.

“Saya telefon 999 dan mereka ajar saya buat CPR dan apabila ambulans sampai, monitor pada mesin oksigen menunjukkan sudah tiada garisan,” katanya kepada pemberita.

Adelia berkongsi perkara itu ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Ampang, Selangor pada petang Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabil Mentor meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Alif Satar bangga jadi sahabat Nabil Mentor, imbau kenangan sama-sama cipta nama sebagai penyanyi

Dalam pada itu, Adelia memberitahu mereka sekeluarga masih menanti keputusan bedah siasat yang dilakukan bagi mencari punca kematian Allahyarham.

Bagaimanapun katanya, ada kemungkinan kematian Nabil ada kena mengena dengan jantung.

“Kami masih menunggu keputusan daripada unit forensik tapi doktor cakap kemungkinan jantung,” ujarnya.

Adelia memberitahu arwah pernah mengadu sakit di bahagian perut sejak beberapa bulan lalu namun tidak mengetahui punca sebenar di sebaliknya.

Tapi sakit itu menyerang pada waktu tertentu sahaja.

ADELIA CITRA HAPSRI

ISTERI NABIL

“Sebelum ini, dia ada mengadu sakit termasuk di bahagian perut sejak dua atau tiga bulan lalu.

"Tapi sakit itu menyerang pada waktu tertentu sahaja. Jadi, sekarang kami tunggu hasil bedah siasat,” jelasnya.

Sementara itu, ibu kepada Allahyrham iaitu Fatimah Abdullah berkongsi rakan-rakan anaknya itu perasan perubahan sikap Nabil yang bertukar menjadi pendiam.

Pun begitu, Fatimah pernah terfikir bagaimana sekiranya Nabil 'pergi' dahulu memandangkan dia mempunyai anak-anak yang masih kecil.

nabil 2

Sekitar suasana Masjid Ukay Perdana semasa pengurusan jenazah arwah.

“Kawan-kawan dia cakap, dia jadi pendiam tapi saya tak nampak apa-apa sebab dia banyak berborak dengan saya.

“Tapi ada satu ketika, saya pernah terfikir bagaimana kalau Nabil sudah tiada nanti. Saya berfikir apa akan jadi dan siapa akan jaga anak-anak dia yang masih kecil.

“Saya tak tahu kenapa boleh terfikir sebegitu, macam tiba-tiba sahaja ia datang,” katanya.

Pada pagi Ahad, Nabil dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur.

nabil

Foto berdua terakhir Nabil dan isteri.

Jenazah ketika ini berada di Masjid Ukay Perdana untuk diuruskan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana pada petang Ahad.

Untuk rekod, Nabil, 37, pernah menyandang naib juara di dalam program Mentor musim pertama pada 2005.

Antara lagu-lagu popular yang pernah dinyanyikan termasuk Kenangan Lama, Hati Ini, Selangkah dan Beku.

Allahyarham meninggalkan seorang balu iaitu Adelia Citra Hapsari dan dua orang cahaya mata perempuan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain