SUSULAN berita pemergian wartawan hiburan veteran popular Huzz pada petang Sabtu, penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal menaja badal (upah) haji buat Allahyarham. Siti atau Siti Nurhaliza, 45, berkata, hasrat itu pernah disampaikan sendiri kepada arwah ketika dia dan suami iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menziarahinya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini. “Sewaktu melawat arwah (Huzz), saya dan Datuk K sempat memberi khabar bahawa pihak Yayasan Nurjiwa akan menunaikan badal haji buat Allahyarham. Allahyarham Huzz menghembuskan nafas terakhirnya pada Sabtu. “Doakan agar urusan badal haji Allahyarham dapat pihak kami sempurnakan,” katanya. Siti berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada malam Sabtu. Dalam pada itu, Siti memberitahu dia sudah mengenali arwah sejak di awal pembabitannya dalam bidang seni suara pada pertengahan 1990-an. Pemergian Huzz kata Siti adalah satu kehilangan besar buat industri kewartawanan negara. ARTIKEL BERKAITAN: Derita kanser tahap empat, PM hulur sumbangan kepada wartawan hiburan Huzz ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan Huzz pencetus nama Datuk K meninggal dunia, sempat tinggalkan pesanan terakhir “Seorang sahabat media yang saya kenali sejak dari awal bergelar artis, sentiasa memberikan kerjasama yang baik sepanjang beliau menjadi wartawan dan tentunya kita kehilangan sosok tokoh senior dalam bidang ini. “Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan Allah menempatkan Allahyarham di syurga. Semoga urusan pengebumian Allahyarham juga berjalan lancar,” ujarnya. Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut berduka cita dengan berita pemergian Huzz atau Kamal Huzaini Kamaludin. “Saya mengucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga Allahyarham, khususnya adiknya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nurul Afida Kamaludin. Ketua Pengarang Berita, Niezam Abdullah (empat dari kiri) bersama rakan artis iaitu Abot (dua dari kiri) dan suaminya serta teman wartawan ketika melawat beliau di HKL. “Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya. Huzz menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman abangnya di Bertam, Kepala Batas, Pulang Pinang akibat komplikasi kanser usus tahap empat. Arwah dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.10 petang Sabtu. Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bertam. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!