suria

“Kau pergi redah banjir kilat di Jalan Klang Lama sekarang Huzz...” - Kenangan bersama Allahyarham 

Bersama Meen Taharin (tengah), Pengarang Eksekutif Sinar Harian menziarahi Huzz di Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mei yang lalu.

BELASUNGKAWA

KETIKA tiada siapa mahu mengambil beliau, saya melihat beliau sebagai seorang penulis berbakat besar dan akan menjadi superstar dalam dunia kewartawanan hiburan suatu masa nanti dan akhirnya mengambilnya bekerja sebagai wartawan Utusan Melayu.

Dan pada hari pertama beliau memulakan tugas sebagai wartawan, saya menghantar Huzz atau Kamal Huzaini Kamaludin ke meja jenayah dan mengharungi banjir kilat di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Huzz yang meninggal dunia pada jam 6.10 petang Sabtu 8 Jun 2024 pada usia 58 tahun hanya dua tahun muda daripada saya.

Tapi ketika itu, saya adalah Pengarang Berita Utusan dan pada tahun 1993, beliau memohon untuk menyertai Kumpulan Utusan dan saya adalah salah seorang panel penemuduga.

Beliau ketika itu telah pun mencipta nama sebagai penulis hiburan di Kumpulan Karangkraf.

2734799

Huzz ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pada hari ditemuduga, beliau muncul dengan darah gemuruh dan saya tanya kenapa beliau mahu meneruskan kerjaya di Kumpulan Utusan dan beliau jawab tiada wartawan yang boleh mencipta nama jika tidak bekerja dengan Utusan. Saya terkedu dengan jawapan yang beliau berikan.

Saya jawab, baiklah, saya boleh ambil beliau bekerja dengan syarat beliau harus bermula dari bawah iaitu melalui proses sebagai wartawan di semua meja utama sebelum boleh berakhir sebagai wartawan hiburan.

Huzz mengangguk tanda bersetuju. Semua anggota panel yang lain enggan mengambil beliau tapi saya melihat Huzz sebagai seorang penulis yang berbakat dan berupaya mencipta nama yang besar dalam dunia penulisan sama seperti bapanya AR Kamaluddin.

Untuk rekod, AR Kamaluddin adalah satu nama besar dalam dunia kewartawanan dan penulisan malah pernah berkhidmat dengan Kumpulan Utusan di tahun-tahun 60-an dan 70-an sementara adik Huzz, Nurul saya turut kenali sebagai wartawan seangkatan dengan saya di Agensi Berita Nasional atau Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan Huzz pencetus nama Datuk K meninggal dunia, sempat tinggalkan pesanan terakhir

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza dan Datuk K taja badal haji buat Huzz

Saya sebut kepada ahli-ahli panel penemuduga biarlah saya yang melatih dan membimbingnya. Ahli panel yang lain akhirnya bersetuju dengan syarat saya sanggup memikul bebanan tersebut.

Tapi di sebalik itu semua, Huzz sama sekali tidak menyangka yang saya akan meletakkannya di Meja Jenayah.

Beliau menangis di hari pertama melaporkan diri kerana tidak sanggup mengharungi banjir di Jalan Klang Lama.

Namun begitu saya cuba memberi semangat dan menyatakan rasional saya bertindak demikian. Huzz akhirnya bersetuju dan pergi ke Jalan Klang Lama di dalam keterpaksaan.

Sebelum beliau melangkah keluar dari Jabatan Pengarang saya pesan; "Huzz, di Meja Jenayah lah tempat yang paling sesuai dan tepat untuk mempraktikkan amalan asas kewartawanan itu 5W dan 1H (what, where, when, who, why, and how). Gunakanlah sebaik-baiknya. Beliau melihat saya sambil tersenyum dan melangkah pergi.

553 (5)

Pemergian Huzz cukup dirasai ramai pihak.

Beberapa jam kemudian (di era telefon bimbit masih belum wujud) Huzz kembali ke pejabat dengan basah lencun dan ketika serta saat semua orang mentertawakannya saya sebut, "Tak apa Huzz, jangan menangis. Tulis apa yang Huzz lihat, jangan pedulikan orang lain."

Dan beliau menghasilkan salah satu laporan kejadian banjir yang terbaik yang pernah saya saksikan. Kerana apa? Kerana beliau memasukkan elemen-elemen kemanusiaan di dalam laporannya, apa yang beliau saksikan, apa yang mangsa-mangsa ceritakan kepadanya dan akhir sekali apa yang beliau rasakan sebagai seorang yang turut meranduk banjir sehingga basah kuyup.

Selebihnya adalah sejarah. Selepas enam bulan di Meja Jenayah, Huzz dihantar ke Meja Hiburan dan mencipta nama sebagai kolumnis hiburan yang catatan mingguannya tentang dunia hiburan sentiasa dinanti ramai.

Beliau mengakhiri kariernya sebagai Pengarang URTV iaitu majalah hiburan terbitan Kumpulan Utusan.

Dan ketika saya menziarahi beliau di Hospital Kuala Lumpur pada 1:56 petang, 22 Mei yang lalu, perkara pertama yang saya lihat ialah senyumannya menyambut kedatangan saya walaupun dalam keadaan yang sedang sakit menderita.

2738257

Ketua Pengarang Berita, Niezam Abdullah (empat dari kiri) bersama rakan artis iaitu Abot (dua dari kiri) dan suaminya serta teman wartawan ketika melawat beliau di HKL.

Suasananya tidak ubah akan hari pertama beliau melaporkan diri sebagai wartawan Utusan dan saya memaksanya mengharungi serta meredah banjir kilat di Kuala Lumpur.

Langsung saya dan Huzz terkenang kembali di hari pertama beliau menjalankan tugas sebagai seorang wartawan Meja Jenayah. Pada saat itu beliau turut melontarkan satu senyuman manis yang menjadi trademark dirinya.

Daripada Allah kita datang, kepadaNya jua kita kembali. Selamat tinggal Huzz.

(ROZAID ABDUL RAHMAN adalah bekas wartawan dan Pengarang Berita Kumpulan Utusan dan selepas itu menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian dan Pengarang Perundingan Kumpulan Media The Star)

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain