KEMUNCULAN bekas anggota kumpulan Dolla di majlis resepsi kedua bersama pasangan iaitu Nasrullah Mohd Sapie pada malam Sabtu mencuri perhatian apabila penyanyi itu tampil mengenakan set barang kemas bernilai RM5 juta. Tampil mengenakan persalinan berona biru laut, Syasya atau Noor Syasya Afiqah Shahrizal, 23, kelihatan cukup anggun ketika berjalan masuk ke dalam dewan. Berkongsi kegembiraan itu, ibunya iaitu Farah Farina Abd Razak turut meluahkan rasa syukur kerana majlis tersebut mendapat tajaan banyak pihak. “Untuk barang kemas Syasya malam ni bernilai RM5 juta. Banyak lagi tajaan sebenarnya. Syasya mengenakan barang kemas bernilai RM5 juta pada majlis resepsinya pada malam Sabtu. “Bukan mudah untuk mengadakan majlis buat anak. Pastinya banyak kos dikeluarkan. Syukur semuanya berjalan lancar,” katanya. Syasya dan Nasrullah diraikan dalam majlis yang berlangsung di sebuah dewan di Shah Alam dengan dihadiri kira-kira 1,000 tetamu pada sebelah malam. Pasangan ini juga turut mengadakan majlis resepsi pada sebelah petang yang dihadiri ahli keluarga dan teman rapat pasangan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mudah tinggalkan Dolla, Syasya terpaksa buat keputusan sukar demi kelangsungan hidup ARTIKEL BERKAITAN: [V] Syasya masih artis naungan Universal Music, ada kemungkinan bergerak secara solo Bercakap tentang pernikahan anaknya itu, Farina tidak menyangka Syasya bertemu jodoh dengan rakan abangnya. “Nasrullah merupakan kawan baik kepada abang Syasya. Mereka sebenarnya dah lama berkawan. Saya tak sangka Syasya bertemu jodoh dengan orang terdekat. “Awal percintaan mereka saya tidak tahu tentang hubungan mereka. Apabila Syasya beritahu ingin berkahwin, pastinya saya menyambut baik kehadiran menantu,” jelasnya. Tambahnya dia juga yakin Syasya dan Nasrullah mampu mengharungi hidup berumah tangga meskipun memilih berkahwin di usia muda. Pasangan ini melangsungkan pernikahan pada April lalu. “Sekarang ini pun saya lihat ramai yang berkahwin di usia muda. Walau tidak mudah menjalani kehidupan rumah tangga, saya yakin mereka mampu harunginya. “Nasrullah seorang yang baik dan dari keluarga baik-baik,” ujarnya. Untuk rekod Syasya dan Nasrullah disatukan dalam upacara akad nikah yang berlangsung pada 20 April lalu. Sebelum itu, Syasya mengejutkan peminat apabila mengumumkan pengundurannya daripada Dolla ketika namanya di kemuncak. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube