suria

“Tersangat pandai kontraktor ini” - Nora Danish tunjuk hasil kerja asal boleh, terpaksa upah orang lain baiki rumah

Nora kecewa keadaan rumahnya caca marba.

PELAKON Nora Danish sekali lagi meluahkan kekecewaannya terhadap sikap seorang kontraktor yang sambil lewa menyiapkan kerja mengubah suai kediamannya.

Nora atau Nora Mohd Danish Hanif, 42, berkata proses renovasi kediamannya itu seakan-akan tiada perancangan dan tidak seperti diharapkan.

"Tersangat pandai pereka dalaman atau kontraktor ini. Penyaman udara buat macam ini, sekejap saja akan bocor paip macam itu. Ini namanya asal boleh," katanya menerusi Instastory pada Rabu.

Keadaan rumah Nora yang perlu dibaiki.

Keadaan rumah Nora yang perlu dibaiki.

Dalam hantaran lain, Nora turut memuat naik foto dan video menunjukkan hasil kontraktor berkenaan yang dianggap caca marba.

Selain pemasangan penyaman udara yang tidak mengikut spesifikasi, beberapa ruangan lain termasuklah di kawasan dapur juga dilihat tidak memenuhi piawaian dikehendaki.

Disebabkan perkara itu, Nora terpaksa menanggung kerugian apabila dia perlu mengupah orang lain bagi membaik pulih keadaan rumahnya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja cincai, Nora Danish perli kontraktor ubah suai rumah - “Finishing tak berapa nak finish sangat”

ARTIKEL BERKAITAN: 4 bulan tidur hotel, ubah suai rumah tak siap-siap... Nora Danish bagi tempoh sampai minggu depan

"Orang lain yang saya kena panggil untuk habiskan kerja-kerja tak kemas dan kurang bijak dia," ujarnya.

Pada 17 April lalu, Nora secara terbuka mendedahkan penipuan seorang kontraktor yang gagal menyiapkan pengubahsuaian rumah yang sudah bermula sejak Ogos tahun lalu.

Kerja-kerja tersebut sepatutnya siap pada Januari lalu namun ia tidak seperti diharapkan sehingga Nora dan keluarga terpaksa tinggal di hotel selama empat bulan.

Nora memberi tempoh seminggu kepada kontraktor tersebut untuk menyiapkan semua kerja ubah suai atau berdepan tindakan undang-undang.

Dia bagaimanapun tetap tidak berpuas hati dengan sentuhan akhir proses ubah suai rumahnya itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain