suria

Aisha Retno anggap penganjur tidak profesional, tiada perbincangan sebelum umum batal konsert

Aisha tampil jelaskan perkara sebenar konsert solonya dibatalkan.

PENYANYI Aisha Retno menyifatkan tindakan pihak penganjur Kharisma Music Festival mengeluarkan kenyataan berhubung pembatalan konsert solonya sebagai tidak profesional.

Jelas Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 24, berkata, dia mahu meneruskan konsert tersebut namun tidak dapat berbuat apa-apa susulan semua keputusan dibuat tanpa perbincangan dengannya.

“Kalau diberi peluang saya nak lakukan konsert itu namun keputusan sudah dibuat dan tidak boleh buat apa.

NP-291

Aisha anggap pihak penganjur tidak profesional.

“Mereka tidak mahu berbincang. Saya rasa penganjur kurang profesional dengan mengeluarkan kenyataan sebelum ini tentang konsert.

“Sepatutnya perlu buat pengumuman umum terlebih dahulu dan maklumkan pada saya supaya saya tahu apa sedang berlaku,” katanya.

Aisha meluahkan perkara itu menerusi hantaran di Instagramnya pada malam Ahad.

Berkongsi lanjut, Aisha berkata, pembatalan konsert itu memberi kesan besar buat karier seninya selepas terpaksa menolak beberapa tawaran kerja.

ARTIKEL BERKAITAN:Jualan tiket rendah, konsert solo Aisha Retno terpaksa dibatalkan

ARTIKEL BERKAITAN: Nama mula di puncak... Aisha Retno kecewa ada rakan industri mula jauhkan diri, tunjuk sikap dengki

“Konsert ini beri kesan besar buat saya termasuk tidak boleh mengambil tawarqn kerja sehingga tarikh konsert sebab itu salah satu syarat.

“Kerugian itu saya perlu tanggung sehingga ada beberapa kerja saya perlu tarik diri disebabkan tarikh itu sebelum konsert.

“Saya juga tidak tahu apa-apa status tentang konsert ini sejak beberapa bulan lepas,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Aisha, setiap urusan berkaitan penganjuran konsert sepatutnya menjadi tanggungjawab pihak penganjur dan bukan meletakkan segala kesalahan di atas bahunya.

NP-289

Konsert Aisha dibatalkan kerana jualan tiket rendah.

Aisha mendedahkan tidak menerima sebarang kontrak daripada Kharisma Music Festival berhubung konsert tersebut dan menyifatkan apa berlaku sebagai penindasan terhadapnya.

“Sepengetahuan saya sepatutnya tugas perancangan kewangan dan pemasaran sepatutnya tugas penganjur tetapi mereka lemparkan tugas-tugas itu kepada saya dan saya tak rasa ia sepatutnya jadi begitu untuk penganjuran konsert.

“Apabila keluar kenyataan sebegitu, seolah-olah mereka salahkan saya tentang jualan tiket dan status konsert itu,” jelasnya.

Pada Sabtu, pihak penganjur mengumumkan konsert Aisha Retno Malam Sutera yang dijadualkan berlangsung pada 16 November ini di Zepp, Kuala Lumpur dibatalkan kerana jualan tiket rendah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain