suria

Rendah diri namun bersyukur dengan pengiktirafan, Siti Nurhaliza segan dipanggil Biduanita Negara

Siti syukur dengan penganugerahan yang diberi.

PENYANYI tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza segan apabila ramai mula memanggilnya dengan gelaran Biduanita Negara.

Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 45, sebaliknya memberitahu dia lebih selesa disapa dengan namanya berbanding gelaran tersebut.

"Saya rasa tidak perlu segan sebenarnya dengan gelaran Biduanita Negara... Saya lebih selesa orang sebut nama saya seperti biasa.

1 (1)

Siti syukur dan rendah diri atas pengiktirafan Biduanita negara.

"Saya tetap seorang manusia biasa yang apabila balik ke rumah kena buat susu anak, memasak dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu," katanya kepada mStar.

Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Sejarah pada petang Selasa.

Dalam pada itu, Siti turut meluahkan rasa syukur dan rendah diri atas pengiktirafan tersebut yang disifatkan sebagai satu penghormatan besar dalam karier seninya.

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza penyanyi wanita ketiga terima Anugerah Biduan Negara 2024

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza berharap ada kesempatan lihat anak-anak naik pelamin, doa bertemu jodoh baik

Jelas Siti, sepanjang hampir 30 tahun membabitkan diri dalam dunia seni dia tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah kerana menganggap ia akan datang dengan sendiri seiring dengan usaha.

"Insya-Allah kalau kita bekerja keras anugerah itu akan datang dengan sendirinya.

"Walaupun tak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk dapat pengiktirafan sebesar ini tetapi saya bersyukur dan ia adalah satu penghormatan besar buat karier seni saya," katanya.

Sejarah merumuskan segala-galanya tentang perjalanan seorang Siti Nurhaliza sebagai anak seni.

SITI NURHALIZA

PENYANYI

Siti turut mendedikasikan anugerah tersebut kepada Allahyarham bapanya iaitu Tarudin Ismail dan ibunya Siti Salmah Bachik yang menjadi inspirasi dan penggerak kariernya.

Tidak ketinggalan komposer Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan dan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah yang banyak memberi tunjuk ajar, dorongan dan sokongan terutamanya di awal kemunculannya sebagai penyanyi.

Pada 13 November lalu, Siti mencipta sejarah apabila menjadi wanita ketiga diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Biduan Negara pada Anugerah Seni Negara (ASN) 2024.

1 (3)

Siti ketika berkongsi mengenai lagi Sejarah.

Selain Siti, dua lagi penyanyi wanita yang pernah menerima anugerah sama adalah Allahyarham Puan Sri Saloma pada 1978 dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006.

Bercakap mengenai Sejarah, Siti memberitahu lagu berkenaan mempunyai signifikan tersendiri yang mengisahkan tentang perjalanannya sebagai seorang anak seni.

Kata Siti, lagu berkenaan juga sangat istimewa apabila dia kembali bekerjasama dengan komposer terkenal Indonesia Erwin Gutawa dan Gita Gutawa.

"Asalnya Sejarah saya ingin masukkan dalam album Sitism tapi apabila kita lihat lagu-lagu yang terpilih, karya ini lebih sesuai berdiri sebagai single.

siti 1

Lagu Sejarah mengisahkan perjalanan Siti.

"Sejarah merumuskan segala-galanya tentang perjalanan seorang Siti Nurhaliza sebagai anak seni dan saya cukup bertuah kerana dapat kembali bekerjasama dengan Erwin Gutawa dan Gita Gutawa.

"Lagu ini seperti saya berada dalam semua fasa perjalanan seni dan satu persatu memori terbayang sewaktu menyampaikannya," ujar Siti.

Lebih istimewa, Sejarah turut menampilkan Czech Symphony Orchestra yang mengiringi susunan muzik yang digarap khas untuk Siti.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain