BAHANG Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang bakal berlangsung pada malam Ahad semakin terasa.
Malah seperti kebiasaan setiap tahun ramalan daripada usahawan dan pengacara Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 36, dinanti-nantikan peminat memandangkan ia selalu mengena.
Bagi edisi kali ini, Neelofa memilih tiga nama penyanyi pilihannya iaitu Nadeera dengan lagu Bukan Lagi Kita, Marsha (Hening Rindu) serta Hael Husaini (Diam).
Hanya 10 lagu sahaja layak bertanding di AJL39.
"Tiga pilihan saya untuk AJL39, Nadeera (Bukan Lagi Kita), Marsha (Hening Rindu) dan Hael (Diam)," katanya ringkas.
Neelofa berkongsi perkara itu menerusi platform X miliknya pada Ahad.
Dia bagaimanapun tidak menyebut alasan memilih ketiga-tiga nama penyanyi berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dapat 30,000 undian di media sosial, Aina Abdul ‘menang’ Vokal Terbaik AJL39
ARTIKEL BERKAITAN: Saingan vokal Aina Abdul, Marsha, Ernie dan Nadeera... Ini 10 lagu layak ke AJL39
Ciapan tersebut turut mendapat sokongan peminat yang percaya Nadeera bakal menang bergaya di pentas AJL39.
Ramalan yang dimuat naik bekas pengacara program MeleTOP ini mendapat lebih 500 retweet (ulang kicau) dan lebih 2000 tanda suka.
AJL39 menyaksikan 10 lagu terbaik iaitu Diam oleh Hael Husaini, Puas Sudah (Aina Abdul), Hening Rindu (Marsha Milan), Aura (Ernie Zakri) dan Terus Bersinar (Hafiz Suip).
Aina sebelum ini meriah undian tertinggi bagi vokal terbaik versi media sosial.
Selain itu, turut ke AJL39 adalah lagu Pujaanku oleh Masdo feat. Aisyah Aziz, Risiko (Benzooloo, Tuju & MK K-Clique), Sengaja (Amir Masdi), Saksama (Akim And The Majistret) dan Bukan Lagi Kita (Nadeera).
AJL39 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula 9 malam ini.
Anugerah berprestij ini akan dihoskan oleh Nas Rahman dan Sissy Imann.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!