ISU tetamu lelaki berpakaian menyerupai wanita semasa menghadiri Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) yang berlangsung pada malam Ahad lalu menjadi perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat.
Ramai yang meluahkan rasa kurang senang dan tidak bersetuju dengan penampilan tersebut yang dilihat bertentangan dengan agama serta budaya tempatan.
Susulan itu ada juga yang meletakkan kesalahan tersebut kepada stesen penyiaran TV3 yang menjadi tuan rumah acara berkenaan.
TV3 tampil jelaskan isu yang menjadi perdebatan.
Menerusi kenyataan kepada mStar, TV3 menjelaskan stesen berkenaan mematuhi garis panduan ditetapkan dan tidak membenarkan mana-mana penonton yang hadir mengenakan pakaian bertentangan jantina.
"Sebagai saluran penyiaran yang bertanggungjawab, TV3 sentiasa komited untuk mematuhi undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, termasuk apa yang telah digariskan oleh kerajaan.
"TV3 ingin menegaskan bahawa pakaian menyerupai wanita oleh tetamu tersebut tidak pernah dibenarkan dan tidak selari dengan norma dan nilai-nilai yang dijunjung oleh masyarakat Malaysia serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan," ujar stesen berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hadir acara pakai fesyen feminin dianggap melampaui batas, tak patut dinormalisasi
ARTIKEL BERKAITAN: Acara hiburan dihadiri lelaki menyerupai wanita... Jakim hubungi MCMC, panggil pihak berkaitan
Kesal dengan kejadian yang berlaku, TV3 juga memberitahu pihaknya mengambil maklum setiap pandangan orang ramai mengenai isu berkenaan.
Malah, stesen itu juga memohon maaf atas kejadian yang berlaku sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
"Kami amat menghargai pandangan dan kebimbangan masyarakat dan TV3 akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang.
AJL39 berlangsung meriah pada malam Ahad.
"Kami mengambil maklum bahawa insiden ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, dan memohon maaf atas kejadian tersebut," jelasnya.
Sebelum ini, isu berkenaan turut mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Malah, hal ini juga telah dipanjangkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab mengawal selia industri di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
AJL39 bersiaran secara langsung dan dihadiri ribuan penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada malam Ahad.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!