ISU tetamu lelaki berpakaian menyerupai wanita di acara karpet merah Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) Ahad lalu terus menjadi perbincangan ramai.
Penyanyi rap Altimet turut tidak bersetuju dengan budaya itu apatah lagi AJL merupakan antara program berprestij dan menjadi perhatian ramai setiap tahun.
Kata Altimet atau Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, 47, melihat sudah tiba masanya TV3 perlu lebih tegas dalam menetapkan garis panduan kepada penonton yang hadir dalam sesebuah acara besar seperti AJL.
"Saya rasa stesen TV juga ada terlepas pandang dengan memaparkan penonton berpakaian wanita tetapi mereka (stesen TV) sudah pun mengeluarkan kenyataan dan meminta maaf.
Altimet sewaktu temu bual bersama podcast Kerusi Biru.
"Sebagai seorang beragama Islam, saya rasa ia salah. Salah tetap salah.
“Kita harus ingat, dalam banyak-banyak program di TV3, program paling popular adalah AJL. Ia sekali gus berupaya membawa hasil pengiklanan sangat lumayan," katanya.
Altimet yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Selangor berkongsi perkara itu menerusi ‘Kerusi Biru Podcast’ di YouTube.
Berkongsi pengalaman di AJL sebelum ini, Altimet memberitahu jarang terdedah dengan situasi di luar acara kerana lebih banyak terlibat dalam kerja-kerja di belakang pentas.
ARTIKEL BERKAITAN: Kod pakaian dah ditetapkan belakang tiket AJL39… Tetamu lelaki berangan nak jadi perempuan saja langgar syarat
ARTIKEL BERKAITAN: Sharnaaz Ahmad diminta buat permohonan maaf, tak wajar salahkan Fahmi Fadzil isu lelaki menyerupai wanita di AJL39
Kongsi Altimet, sebelum ini garis panduan berpakaian hanya dikeluarkan kepada peserta yang membuat persembahan dan tidak kepada penonton.
"Sewaktu saya terlibat dalam AJL, saya terlibat di belakang pentas. Tempat yang mungkin pakaiannya lebih sederhana, kurang glamour kerana kita datang nak buat kerja kecuali artis buat persembahan.
"Setiap stesen TV mereka ada garis panduan, pakaian yang dibenarkan. Biasanya paling ketat adalah RTM sebab di bawah kerajaan.
"Namun saya tekankan garis panduan itu hanya untuk orang yang bekerja iaitu yang membuat persembahan sahaja bukan penonton," ujarnya.
Altimet pernah bertanding di pentas AJL32.
Altimet bagaimanapun memahami situasi stesen TV swasta yang tidak terikat dengan garis panduan ketat ditetapkan kerajaan.
Jelas penyanyi lagu Bunga ini, stesen TV swasta lebih bebas dalam menganjurkan acara yang mendatangkan keuntungan buat mereka.
"Saya rasa untuk stesen-stesen media kerajaan sudah ada garis panduan tetapi untuk stesen swasta ini berlainan sedikit.
"Stesen TV swasta objektifnya adalah untuk mengaut keuntungan, jadi kalau tiada garis panduan menaikkan keuntungan mereka, mereka akan ikut sahaja. Itu realitinya apabila kita berniaga.
"Saya rasa salah satu perkara yang orang Malaysia sedang belajar adalah tentang kuasa pengguna. Antara tunjukkan sokongan atau boikot," katanya.
Ramai yang tidak senang melihat fesyen karpet merah AJL39.
Sebelum ini, pelbagai reaksi timbul apabila isu lelaki berpakaian menyerupai wanita hadir pada acara karpet merah AJL39 yang berlangsung pada 16 Februari lalu.
Isu yang berlaku ini menjadi pendebatan hangat sehingga menarik perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya.
TV3 dalam satu kenyataan pada Selasa lalu turut memohon maaf atas kejadian tersebut dan berjanji insiden sama tidak akan berulang pada masa depan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!