suria

M Nasir kagumi karya klasik, rakam semula lagu Melayu pertama untuk projek ‘100 Lagu 100 Tahun’

M Nasir sangat mengagumi karya klasik.

LAGU berbahasa Melayu pertama berjudul Nuri Terbang Malam yang berusia lebih 100 tahun diberi nafas baharu apabila dirakamkan semula oleh maestro muzik terkenal Datuk M Nasir.

M Nasir atau Mohd Nasir Mohamed, 68, berkata, selain mengagumi karya klasik, dia merakamkan semula lagu berkenaan sebagai tujuan dokumentasi dalam projek 100 Lagu 100 Tahun yang sudah pun dilancarkan.

“Saya sendiri yang cadangkan lagu ini ketika komposer Azmeer datang dengan cadangannya. Lagu ini telah berusia lebih 100 tahun.

M Nasir dan Azmeer antara barisan yang terlibat dalam projek 100 lagu.

“Saya mahu lagu tersebut dirakamkan semula untuk tujuan dokumentasi. Saya memang letakkan lagu-lagu lama pada tahap tinggi dan menjadi nyanyian saya di rumah,” katanya kepada mStar. 

M Nasir berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran projek 100 Lagu 100 Tahun yang berlangsung di Kuala Lumpu pada Rabu.

Mengulas mengenai projek berkenaan, M Nasir menyifatkan ia sebagai satu tanggungjawab untuk terus memperkenalkan lagu-lagu Melayu kepada generasi muda.

Dipercayai Nuri Terbang Malam merupakan rakaman piring hitam pertama yang dilancarkan pada 1903. 

ARTIKEL BERKAITAN: ‘MJOL’ cecah 10 juta tontonan di YouTube, Ara Johari mahu lebar sayap ke Indonesia

ARTIKEL BERKAITAN: Patutlah persembahan AJL39 gah, pentas dibina sebesar dua gelanggang futsal

Rakaman dibuat oleh sebuah syarikat rakaman di United Kingdom iaitu Gramaphone Company dan dinyanyikan oleh Qasim iaitu seorang penyanyi Wayang Semarang dari Pulau Pinang.

Lagu ini dirakam di Singapura dan menggabungkan elemen muzik tradisional India dan Timur Tengah mencerminkan pelbagai budaya yang wujud di rantau ini pada zaman tersebut.

Projek 100 Lagu 100 Tahun merupakan kompilasi lagu-lagu Melayu yang pernah dirakamkan bermula tahun 1900 sehingga 2000. 

Diberikan nafas baharu semua karya-karya pilihan ini dinyanyikan oleh penyanyi antaranya seperti Liza Hanim, Lah Ahmad, Kaka Azraff, Bunge, Sharifah Zarina dan ramai lagi. 

Liza antara penyanyi yang turut terlibat.

Antara lagu yang telah dirakamkan semula adalah Wajahmu Di Mana Mana (nyanyian asal Azlina Aziz), Kenangan Lalu (Flybaits), Getaran Jiwa (Tan Sri P Ramlee), Penantian (Harmoni) dan Madah Berhelah (Ziana Zain).

Kesemua 100 lagu ini dibahagikan kepada empat jilid berbeza dan 100 Lagu 100 Tahun Vol. 1 sudah mula boleh didengari di semua platform penstriman. 

Projek ini adalahh di bawah penerbitan World Business Affair dengan kerjasama Luncai Emas Sdn Bhd.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsAppTelegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

 

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain