suria

Rakan baik cerita amalan sedekah komposer Zul Mahat, anggap ladang pahala selepas meninggal dunia

Zulkifli sentiasa bersedekah jika mengunjungi mana-mana masjid dan surau.

DUNIA hiburan turut dikejutkan dengan berita pemergian komposer Zul Mahat akibat jangkitan paru-paru pada malam Jumaat.

Zul atau Zulkifli Mahat menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubaran Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya pada usia 65 tahun.

Bercerita mengenai Allahyarham, teman rapatnya iaitu Rosnah Abdul Aziz memberitahu Zulkifli bukan sahaja seorang periang tetapi cukup gemar menghiburkan orang di sekelilingnya.

Zul meninggal dunia pada usia 65 tahun.

Namun di sebalik sikap cerianya itu, Rosnah memberitahu arwah cukup suka bersedekah di masjid atau surau dikunjunginya.

Kata Rosnah yang juga bekas wartawan, Zulkifli menyifatkan amalan tersebut sebagai ladang pahala dan bekalan di akhirat.

"Arwah ini kalau pergi masjid memang selalu bersedekah, tidak kisah berapa duit dia ada ketika itu tetap akan sedekah.

"Padanya amalan bersedekah ini adalah pahala yang berpanjangan," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri usahawan Ridzuan Ridzokumura meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Azam Smile meninggal dunia dalam keadaan meniarap di rumah, tak sempat jamah makanan dipesan

Bercerita mengenai keadaan Zulkifli sebelum meninggal dunia, Rosnah memberitahu selera makan arwah bertambah berbanding biasa.

Tidak hanya itu, arwah sering menyatakan hasrat mahu pulang ke rumah selepas agak lama ditahan di wad hospital.

"Setiap kali saya berjumpa dengannya, dia akan beritahu mahu pulang ke rumah sebab sudah bosan di hospital.

"Tapi selera makannya juga bertambah daripada kebiasaan sebelum meninggal dunia," katanya.

Arwah ini kalau pergi masjid memang selalu bersedekah, tidak kisah berapa duit dia ada ketika itu tetap akan sedekah.

ROSNAH ABDUL AZIZ

RAKAN BAIK ALLAHYARHAM ZUL MAHAT

"Arwah juga asyik cakap nak balik rumah sebab tak mahu duduk di hospital," ujarnya.

Difahamkan, Allahyarham dimasukkan ke PPUM sejak penghujung Disember tahun lalu selepas terjatuh ketika menjalani rawatan dialisis di sebuah pusat dialisis di Subang Jaya. 

Akibat insiden itu, Zulkifli mengalami kecederaan di bahagian dagu, mata serta patah tangan dan bahu kanan.

Arwah turut menjalani prosedur angiogram selepas doktor mengesan terdapat dua saluran darahnya tersumbat sebelum dibenarkan pulang pada penghujung Januari.

Zul pernah bekerjasama dengan M. Nasir.

Bagaimanapun, Allahyarham dimasukkan semula ke hospital pada 17 Februari lalu selepas mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ22, Subang Jaya, Selangor sekitar 12.30 tangah hari pada Sabtu.

Zulkifli tidak pernah berkahwin dan tinggal berseorangan sebelum ditempatkan di sebuah rumah orang tua di Subang Jaya, Selangor.

Sepanjang karier dalam industri muzik tanah air, Zulkifli sudah menghasilkan banyak lagu untuk artis tempatan antaranya Min Malik, Fauziah Latiff dan kumpulan Spider.

Selain bergelar komposer, Allahyarham turut dikenali sebagai pemain keyboard yang sering terlibat dalam rakaman album artis tersohor seperti Datuk M. Nasir, Rahim Maarof, dan Search.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain