KESIBUKAN kerja menyebabkan pelakon Nadhir Nasar masih belum dapat memberikan komitmen sepenuhnya untuk mencari pasangan hidup.
Bagaimanapun Nadhir berkata, dia percaya bakal mendapat wanita yang tepat untuk dijadikan isteri memandangkan dia bakal memasuki usia 30 tahun pada tahun depan.
“Bulan lepas saja saya hanya ada sehari untuk cuti rehat, begitu juga dengan bulan ini saya ada masa berehat sekitar dua hingga tiga hari saja.
“Saya akui untuk menjadi kepunyaan seseorang pada masa sekarang agak susah, tapi saya percaya individu itu ada, cuma belum jumpa lagi. Tahun depan pun saya sudah masuk 30 tahun, jadi saya perlu cari,” katanya kepada mStar.
Nadhir terlalu sibuk sampai tak sempat fikir soal pasangan hidup.
Nadhir berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis bertemu peminat sempena kempen 'Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill' di Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dalam masa sama, ditanya mengenai satu klip video tular yang mengatakan Nadhir menyukai wanita berasal Kelantan, aktor tersebut mengakuinya.
Akui pelakon drama Cikgu Hiragi itu, ia disebabkan wanita Kelantan mempunyai satu aura yang tersendiri selain pandai memasak.
“Saya masih mencari wanita dari negeri Kelantan. Saya rasa wanita Kelantan ini ada satu aura yang sangat dekat dengan personaliti saya dan mereka pandai memasak.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Mek Kelate’ pilihan Nadhir Nasar, ramai tiba-tiba mengaku orang Pantai Timur - “Assalamualaikum Abe”
ARTIKEL BERKAITAN: Aksi kanak-kanak terbaring di atas jalan curi perhatian, rupanya merajuk tunggu Nadhir Nasar
“Saya tidak mengenali mana-mana wanita Kelantan sekarang ini. Saya ada ramai kenalan dari sana. Walaupun saya membesar di Perak, saya nampak perbezaan di antara dua negeri ini dan ia agak menyeronokkan.
“Saya mencari wanita dari Kelantan ini disebabkan saya ini penggemar budu,” jujurnya.
Sementara itu, Nadhir turut menjawab mengenai spekulasi sudah mempunyai teman istimewa seperti yang hangat diperkatakan netizen di media sosial.
Saya rasa wanita Kelantan ini ada satu aura yang sangat dekat dengan personaliti saya dan mereka pandai memasak
NADHIR NASAR
PELAKON
“Saya akui ada ramai yang membuat spekulasi saya sedang mempunyai hubungan dengan seseorang, jujur saya okey saja. Cuma privasi tetap menjadi keutamaan saya.
“Kadang benda itu tak betul hingga menjejaskan kedua-dua pihak. Cuma untuk saya, spekulasi itu tak betul,” katanya.
Nadhir bersama pengasas dan duta lain jenama Bulan Bintang.
Untuk info, Nadhir merupakan antara duta pakaian raya jenama Bulan Bintang yang hadir pada majlis bertemu peminat sempena kempen 'Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill'.
Selain Nadhir, duta jenama terbabit iaitu Shukri Yahaya, Mierul Aiman dan Syafiq Kyle turut terlibat sama bagi memeriahkan acara itu.
Dalam masa sama, Bulan Bintang turut menampilkan ‘pop-up store’ serta pameran khas sempena ulang tahun ke-10 jenama itu bermula dari 12 hingga 23 Mac ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!