PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza masih mempunyai 11 buah lagu yang belum dilancarkan di bawah bekas syarikat rakamannya iaitu Suria Records (SRC).
Pengarah urusan SRC, Edwin Tan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk melancarkan kesemua lagu tersebut dalam sebuah album khas suatu hari nanti.
Bagaimanapun kata Edwin, perkara itu perlu dibincang dan mendapat persetujuan daripada Siti sendiri walaupun kesemua lagu tersebut milik SRC.
Siti pernah merakamkan 11 buah album studio bersama SRC.
"Ketika menerbitkan setiap album Siti di bawah SRC, kami memang menghasilkan lebih daripada 10 buah lagi.
"Sekarang kami ada baki 11 buah lagu Siti yang belum pernah kami keluarkan. Niat melancarkan lagu-lagu berkenaan memang ada tapi perlu ada persetujuan bersama.
"Ini kerana ia tetap lagu yang dinyanyikan Siti dan kami tidak boleh hendak melancarkan lagu-lagu tersebut sewenang-wenangnya," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Anta Permana’ jadi pilihan Raja Charles III, Siti Nurhaliza ingat kena tipu
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza pun macam orang lain, gemar beli baju secara online
Edwin berkongsi perkara itu ketika ditemui di Raya Media Gathering by Suria Records yang diadakan di Suria Records Lab, Cheras Perdana, Kuala Lumpur pada Khamis.
Dalam pada itu, Edwin memberitahu selain Siti, SRC turut menyimpan beberapa lagu penyanyi popular lain yang pernah bernaung di syarikat rakaman berkenaan.
Kata Edwin, kebanyakan lagu nyanyian Siti dalam simpanan SRC adalah ketika penyanyi tersohor itu masih muda.
"Lagu yang kami simpan itu kebanyakannya bergenre pop dan menonjolkan vokal Siti yang masih muda. Sekarang ini kita tak dengar lagi vokal Siti yang sebegitu.
"Kita ada simpan lagu artis lain tapi setakat ini lagu Siti paling banyak," ujarnya.
Kebanyakan lagu yang disimpan dirakamkan ketika Siti masih muda.
Untuk rekod, Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, pernah merakamkan sebanyak 11 album studio bersama SRC.
Album terakhir Siti bersama SRC yang diterbitkan pada 2004 berjudul Prasasti Seni memuatkan 13 buah lagu.
Selepas tidak menyambung kontrak bersama SRC yang tamat pada 2006, Siti menerbitkan sendiri albumnya menerusi syarikat miliknya Siti Nurhaliza Productions (SNP).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!