suria

“Haneesya Hanee, jangan ulangi lagi” - Itu pesan Janna Nick

Janna Nick berkongsi rasa simpatinya terhadap bekas juara Dewi Remaja 2018/2019. FOTO: Majalah Remaja.

KONTOVERSI bekas juara Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Haneesya Hanee yang dilucutkan gelaran kerana terlibat dalam aktiviti tidak bermoral mendapat perhatian Janna Nick yang berkongsi nasihat untuk wanita itu.

Janna berkata, dia berharap agar Haneesya Hanee mengambil kejadian yang berlaku itu sebagai satu pengajaran agar menjadi insan yang lebih baik.

"Anggap ini satu pengajaran kepada anda supaya menjadi orang lebih baik. Jangan tertekan dengan perkara itu. Teruskan kehidupan.

"Jika tidak ia akan membuatkan kamu alami depresi," tulisnya di Instagram pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesta arak... Haneesya Hanee mengaku salah, gelaran juara Dewi Remaja dilucutkan

Dalam pada itu, Janna berharap wanita itu tidak mengulangi kesilapan tersebut dan perlu bergaul dengan individu yang lebih positif.

"Jangan ulangi dan bergaullah dengan orang-orang yang baik. Jangan mudah percaya orang," ujarnya.

Haneesya Hanee (tengah) terpaksa menerima hakikat gelaran juara untuknya digugurkan.

Dalam perkongsiannya di Instagram itu Janna berkata pada mulanya dia kecewa melihat video di pusat hiburan itu tersebar namun dia turut berasa kasihat selepas gelaran itu ditarik balik.

Pada Isnin lalu, video sebilangan peserta program Dewi Remaja termasuk juaranya iaitu Haneesya Hanee yang berhibur sambil minum arak di kelab malam tersebar di internet.

Perkara itu menimbulkan kontroversi dan rasa kurang senang masyarakat terhadap gelaran juara yang seharusnya menjadi ikon dan contoh kepada masyarakat.

Bagaimanapun pada Khamis, pihak penganjur membuat keputusan menarik gelaran itu yang diberikan kepada Haneesya Hanee.

Pada Ahad lalu Haneesya Hanee atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan, 18, dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2018/2019 yang membolehkan dia menerima mahkota, trofi dan wang tunai.

Bagaimanapun gelaran itu gugur kerana penglibatannya dalam aktiviti tidak bermoral yang mana ia melanggar syarat kontrak yang dipersetujui.

Artikel Lain