suria

"Maafkan saya, Misha" - Individu akui tuduhan guna 'Mak Esah' kerana terlalu emosi

Misha memberi tempoh tujuh hari untuk beberapa individu tampil mohon maaf.

SEORANG individu tampil membuat permohonan maaf terbuka kepada penyanyi Misha Omar berkaitan kes fitnah menggunakan sihir ketika pertandingan Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) baru-baru ini.

Individu dikenali sebagai Zahar, 27, mengakui mengeluarkan kenyataan itu berikutan terlalu mengikut emosi apabila artis kegemarannya tidak memenangi sebarang kategori pada pertandingan itu.

"Saya sudah membuat kenyataan maaf secara terbuka di laman sosial atas kenyataan berunsur fitnah itu sehari sebelum sidang media yang dilakukan Misha Omar.

"Saya akui kesalahan itu dan benar-benar menyesal dengan apa yang berlaku. Saya sudah menghubungi peguam Misha untuk permohonan maaf dan berjumpa dengannya secara peribadi," ujarnya kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Dituduh guna ‘Mak Esah’ di AJL33, Misha beri masa 7 hari untuk pemfitnah minta maaf


Misha bersama peguamnya Ahmad Fuad Hashim (kiri) dan Abi Mursyidin Awal.

Zahar berkata, video dan kenyataan yang dimuat naik di laman sosial itu sudah dipadamkan.

Pada Jumaat lalu, penyanyi lagu Sampai Bila membuat sidang media meminta beberapa individu yang menuduh dia kononnya menggunakan sihir dalam pertandingan AJL 33 lalu untuk bersemuka dalam tempoh tujuh hari atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Misha berkata, kenyataan di laman sosial yang mendakwa dia melakukan perbuatan khurafat itu telah mencalarkan reputasinya sepanjang 17 tahun dalam bidang seni suara.

Dalam pada itu, Zahar berkata, dia tidak menjangka akan menerima padah dengan kenyataan yang dianggap sebagai gurauan dan suka-suka itu.

Tambahnya, ia menjadi pengajaran buat dia dan peminat-peminat artis lain agar lebih berhati-hati.

Misha memenangi Vokal Terbaik dan tempat ketiga di AJL33.

"Saya tidak sangka apa yang saya buat itu boleh diambil tindakan dan Misha bertindak sehingga tahap ini.

"Sejujurnya saya berasa takit dan fikir macam-macam bila tahu kes ini menjadi besar. Saya fikir mana nak cari duit dan duduk di penjara jika didapati bersalah," ujarnya.

Dalam pada itu, Zahar yang juga ahli kelab peminat Siti Sarah mengakui perkara itu sedikit sebanyak menjejaskan nama penyanyi terbabit.

"Saya bawa nama Siti Sarah dan saya minta orang ramai tidak mengaitkan dia dalam hal ini kerana apa yang saya lakukan adalah kesalahan saya sendiri.

"Saya terima dan bertanggungjawab sepenuhnya," ujarnya.

Misha Omar

Artikel Lain