PENYANYI rap Zizi Kirana berasa kecewa apabila netizen mengaitkan dirinya dalam isu pemakaian seksi kumpulan Kpop popular Blackpink pada konsert yang berlangsung hujung minggu lalu. Zizi, 34, berkata, netizen tidak seharusnya menjadikan dia sebagai sasaran dalam isu pakaian kumpulan Kpop tersebut. "Saya tidak marah tapi pelik kenapa mereka nak kaitkan saya pula dalam isu pakaian seksi Blackpink. "Jangan terlalu taksub mengidolakan mereka sehingga orang yang tiada kena mengena terkena tempiasnya," ujarnya kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: Berlambak artis Malaysia seksi, peminat anggap Blackpink 'just fine', “Takkan nak pakai baju kurung?” Zizi kecewa netizen mengaitkan namanya dalam isu Blackpink. Zizi memuat naik beberapa paparan skrin apabila peminat-peminat kumpulan itu mula membuat pautan namanya di mana-mana artikel berkaitan isu itu. Sebelum ini, pelakon Abby Abadi menegur pemakaian skirt anggota Blackpink yang disifatkan terlalu pendek. Bagaimanapun, komen Abby menerima pelbagai reaksi peminat kumpulan itu yang turut bersuara menampilkan pendapat mereka termasuk mengaitkan penyanyi dan pelakon tempatan yang berpakaian seksi. Tambah penyanyi lagu Nak Ke Tak Nak itu, dia tidak pernah berpakaian seksi setiap kali melakukan persembahan. Katanya, imej seksi hanya di laman sosial dan ketika bukan waktu bekerja. "Saya tidak seksi ketika melakukan persembahan, masa jalan-jalan sahaja saya berpakaian seksi sedikit. "Kalau untuk artis lain untuk tampil seksi terserah kepada mereka nak pakai macam mana yang penting bersesuaian dan bergantung tempat dia buat persembahan," ujarnya.