suria

“Tak rasa takut mencela anak yatim?” - Jasmin Hamid saman 15 pembuli siber hina anaknya

Jasmin membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya terhadap 15 pemilik akaun laman sosial yang mengina anaknya. Foto Instagram @jasminhamidjh

PELAKON Jasmin Hamid membuat laporan polis terhadap 15 individu yang didakwa membuat komen menghina anak angkatnya dikenali sebagai Rohana di laman sosial.

Jasmin, 46, berkata, laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya itu turut disertakan dengan bukti penghinaan pengguna laman sosial terhadap anaknya serta bercadang mengambil tindakan undang-undang.

"Kepada para pembuli siber yang telah mencela anak perempuan saya, boleh tunggu saman daripada saya.

"Ada lebih daripada 15 nama di dalam laporan polis yang akan diambil tindakan undang-undang di atas tindakan mencela yang tidak berasas di Instagram dan Facebbok serta blog... Segala butiran pembuli siber telah pun diserahkan kepada pihak polis," katanya di Instagram.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya akan sekat dan ambil tindakan!” - Jasmin Hamid beri amaran pada netizen kutuk wajah anaknya macam maknyah

Antara komen netizen yang didedahkan Jasmin di Instagram.

Sebelum ini Jasmin pernah mendedahkan ada pengguna laman sosial yang menghina wajah anaknya seperti seorang maknyah.

Pelakon itu turut memuat naik paparan skrin komen menghina anaknya dan memberi amaran untuk lebih berhati-hati ketika meninggalkan komen di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Jasmin berkata, dia bertindak membuat laporan polis kerana penghinaan terhadap anak perempuannya itu tetap berlaku walaupun sudah memberi amaran.

Jasmin turut mempersoalkan sama ada golongan tidak bertanggungjawab itu tidak berasa takut menghina seorang anak yatim.

"Jika selama ini saya hanya abaikan dan sekat segala komen negatif tapi kali ini saya bertegas mengambil tindakan kepada pembuli siber yang tidak bertanggungjawab serta agresif melemparkan celaan kepada anak perempuan saya tanpa sebab yang munasabah.

Jasmin dan anak perempuan kesayangannya, Rohana.

"Adakah anda tidak berasa takut mencela anak yatim? Saya tak minta wang sesiapa pun untuk membesarkan anak saya," katanya.

Sementara itu, Jasmin berkata, dia berharap tindakannya melaporkan perkara itu kepada polis dapat menjadi iktibar agar tiada lagi netizen yang membuli orang lain di laman sosial.

"Saya harap tiada lagi nama-nama yang akan ditambah di dalam senarai pembuli siber selepas ini.

"Moga ini boleh dijadikan iktibar buat pembili siber sebelum memberi sebarang komen yang ada unsur-unsur negatif di laman sosial sesiapa sahaja," katanya.

Rohana atau mesra dengan sapaan Cicik, 29, diambil sebagai anak angkat Jasmin ketika pelakon itu berusia 20 tahun.

Selain Rohana, Jasmin juga mempunyai seorang anak angkat lain, Lukhman Hakim, 23 dan anak kandung, Ian Haziq yang kini berusia 18 tahun.

Jasmin Hamid

Artikel Lain