suria

Bekas isteri penolong pengarah minta tempoh untuk minta maaf - Nina Iskandar

Nina Iskandar sedia maafkan jika semua pihak membuat permohonan maaf.

PELAKON Nina Iskandar bersetuju untuk memberi tempoh selama seminggu lagi kepada dua pihak yang dituntut membuat permohonan maaf terbuka atas tuduhan dia sebagai punca perceraian penolong pengarah.

Nina atau nama sebenarnya Nur Akmalina binti Iskandar, 28, yang diwakili peguam Mohd Irwan Mubarak berkata, dia menerima surat permohonan daripada pihak berkenaan yang memohon untuk melanjutkan tempoh permohonan maaf sehingga 3 April depan.

"Permohonan maaf jurusolek sudah diterima dan anak guam saya sedia untuk maafkan, namun kami sedang menyiapkan beberapa dokumen perjanjian agar dia tidak mengulangi lagi perkara berkenaan.

"Manakala, dua pihak lagi, kami ada menerima permohonan mereka untuk melanjutkan tenpoh masa. Bagi bekas isteri penolong pengarah itu, dia meminta tempoh  sehingga 31 Mac nanti, manakala media tersebut tidak menetapkan tarikh tertentu," ujarnya kepada mStar Online pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN:Jurusolek artis tampil mohon maaf isu fitnah Nina Iskandar

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas isteri penolong pengarah turut dituntut mohon maaf, Nina Iskandar sangkal jadi punca perceraian


Nina Iskandar bersama peguamnya Mohd Irwan Mubarak (tengah) dan Mohd Khairil Abidin.

Nina pada 23 Mac lalu, dalam satu sidang media khas menafikan tuduhan dia sebagai punca perceraian seorang penolong pengarah.

Fitnah itu dipercayai dicetuskan oleh bekas isteri penolong pengarah berkenaan dan turut disebarkan oleh individu yang bekerja sebagai jurusolek artis sebelum dilaporkan oleh sebuah portal.

Tuduhan yang dianggap fitnah itu telah menjejaskan nama baiknya dan kerjaya sebagai seorang artis.

Pelakon Andainya Takdir itu turut membuat tuntutan maaf daripada tiga individu yang terlibat dengan fitnah berkenaan iaitu bekas isteri, jurusolek dan media yang melaporkan perkara itu.

Dalam pada itu, Nina yang dihubungi berkata, dia sedia untuk memaafkan semua pihak jika mereka insaf dengan perkara yang dilakukan.

"Kalau mereka sudah minta maaf dan insaf dengan tindakan itu saya pasti pertimbangkan permohonan maaf tersebut.

"Namun saya perlu mendapatkan nasihat peguam berkenaan langkah seterusnya," ujarnya.

Pada Selasa lalu, seorang jurusolek yang dikenali sebagai Elle Rahman tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Facebooknya berhubung fitnah terhadap aktres itu.

Ella berkata, dia berjanji tidak akan mengulangi perkara berkenaan.

Nina Iskandar

Artikel Lain