PELAKON Mia Ahmad menegaskan dia tidak sanggup jika ditakdirkan terpaksa hidup bermadu. Penegasan Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi itu dibuat susulan cakap-cakap mengenai kemelut rumah tangga yang dihadapinya sekitar hujung tahun lalu. "Saya puji jika ada wanita yang berada dalam situasi sama seperti saya sudi bermadu kasih. "Namun pastinya jawapan saya adalah tidak kepada isu bermadu," kata Mia kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: Rumah tangga Mia Ahmad diuji, suami dituduh curang ARTIKEL BERKAITAN: Mia Ahmad akan lakukan apa saja untuk selamatkan rumah tangga Mia, 31, ditemui pada majlis sidang media drama Nur 2 pada Selasa. Rumah tangga Mia dan suaminya yang juga bintang bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Izham Tarmizi dilanda badai ketika aktres berkenaan sedang berpantang selepas melahirkan anak sulung mereka, Saif Issa. Mia akui sedang membina semula rumah tangganya bersama Mohd Izham. Dalam nada sebak, Mia bagaimanapun berkata rumah tangganya kini berada dalam fasa pemulihan. "Maaf... saya tak dapat menahan air mata. Langsung tiada niat untuk membuat sebarang drama. "Semuanya telah berlalu namun ia akan mengambil masa untuk sembuh daripada luka sebelum ini," kata Mia. Jelas Mia, dia dan Mohd Izham sedang cuba sebaik mungkin untuk membina semua kehidupan mereka sebagai suami-isteri. Mia tidak dapat menahan sebak semasa ditemuramah media. "Saya cuba sedaya-upaya untuk muhasabah diri apabila perkara ini berlaku walaupun saya tahu manusia boleh lukakan hati kita dalam sekelip mata. "Namun apa yang boleh saya katakan ialah saya dan suami sedang memperbaiki hubungan kami ke arah yang lebih baik dan cuba memulihkan hati yang pernah terluka," katanya. Pasangan ini berkahwin pada 13 Januari 2017 selepas setahun berkenalan.