AGENSI pelancongan yang menjalinkan kolaborasi dengan Lan Pet Pet bagi mempromosikan umrah mengumumkan terpaksa menunda pakej perjalanan seperti yang diiklankan pelawak itu. Pengarah agensi pelancongan Ambar Travel & Tours, Nor Aishah Idris, berkata keputusan itu dibuat selepas Lan atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, 49, serta pihaknya sendiri gagal mengumpul jumlah peserta yang diperlukan. "Pakej umrah itu sebenarnya bergantung pada jumlah peserta yang berminat. Mengikut syarat perjanjian, Lan perlu mencari peserta sendiri. ARTIKEL BERKAITAN: "Tak payah cakap dosa, pahala" - Promo umrah Lan Pet Pet diserang netizen ARTIKEL BERKAITAN: Semalaman dalam lokap, pelawak pukul pengawal bebas dengan ikat jamin "Tapi bila sampai masa, pihak kami dan Lan sendiri gagal mengumpul peserta menyebabkan pakej umrah yang dipromosikan di Instagram itu terpaksa ditunda ke tarikh lain," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. Awal minggu ini posting promosi umrah di Instagram Lan menjadi platform serangan netizen. Kolaborasi pakej Umrah bersama Lan Pet Pet ditunda. Ia gara-gara kecoh dengan kes membabitkan seorang pelawak terkenal yang dikatakan membelasah dan menendang pengawal keselamatan warga emas dalam kejadian pertengkaran di Taman Acacia, Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu malam. Selepas ditahan pada Ahad, suspek dibebaskan dengan jaminan polis hari berikutnya. Identiti suspek masih belum didedahkan kepada umum. Sementara itu mengulas mengenai gesaan netizen agar agensi pelancongan yang diwakili Lan itu membatalkan semua kolaborasi, Nor Aishah berkata kerjasama antara mereka hanya bersifat sementara mengikut projek yang dipersetujui. Lan Pet Pet terpalit insiden membelasah seorang pengawal keselamatan Sabtu lalu. "Untuk pengetahuan semua, Lan Pet Pet bukanlah duta yang dilantik untuk syarikat kami. Mengikut perjanjian dan beberapa syarat yang ditetapkan, sekiranya Lan berjaya melaksanakan trip tersebut... baru dia dilantik menjadi duta. "Kami masih dalam perbincangan dengan rakan kongsi mengenai perlantikan itu. Namun ingin ditegaskan sebarang keputusan termasuk penundaan umrah mengikut tarikh yang diiklankan Lan tiada kene mengena dengan kes melibatkan pelawak yang dihebahkan itu," katanya. Sementara itu berdasarkan semakan di Instagram agensi pelancongan itu, rata-rata netizen meninggalkan komen berbaur kecaman selain menuntut pihak agensi membatalkan sebarang kolaborasi melibatkan Lan. Bagaimanapun Aishah memberitahu pihaknya masih belum menerima apa-apa kenyataan daripada Lan. "Pihak kami belum menerima apa-apa maklum balas daripada Lan. Kami berlapang dada dan tiada masalah dalam isu ini malah kami juga tidak mahu membesarkan isu ini. "Pihak kami berikan ruang untuk Lan dan tak nak terlalu mendesak," katanya.