suria

“Susah nak terangkan, mereka tak biasa pakai barang kemas berlian” - Vida minta Firman tak terikut-ikut, nanti malu sendiri

Vida menafikan sekeras-kerasnya hadiah berlian yang diberikan kepada Firman adalah palsu. -fotoTHESTAR

USAHAWAN kosmetik Datuk Seri Hasmiza menggesa penyanyi Indonesia, Firman Siagian supaya tidak terikut-ikut rentak penyanyi Aishah berhubung dakwaan hadiah berlian palsu.

Menurut Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, hadiah subang berlian yang diberikan kepada pemenang tempat kelima program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang lalu bukan palsu.

"Jadi Firman jangan beranggapan apabila Aishah kata palsu dia pun ingat palsu juga. Ya Allah... subang berlian tu bukan palsu. Saya menafikan sekeras-kerasnya.

"Saya minta dia jangan terikut-ikut nanti termalu sendiri. Itu memang berlian tapi tak ada sijil sebab kategori barang kemas perhiasan," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Firman dakwa Vida beri berlian palsu - “Juara pun dapat palsu, apatah lagi tempat kelima?”

ARTIKEL BERKAITAN: 'Main batu', ramai VIP terkena

Vida berkata tidak semua barang kemas bertatahkan berlian ada diberikan sijil tetapi boleh dibuat sekiranya diperlukan.

"Macam tiga lagi barang kemas diterima Aishah pun tak ada sijil melainkan dua butir berlian yang turut dipilihnya.

"Bila saya bagi Aishah peluang pilih berlian, tidak bermakna berlian lain palsu. Susah saya nak terangkan kepada mereka tak biasa pakai barang kemas berlian ni," katanya.

Firman ketika membuat persembahan dalam salah satu konsert Gegar Vaganza.

Dalam pada itu, Vida berkata dia turut terkilan kerana jalan mudah yang diambilnya untuk menyelesaikan kemelut dengan Aishah membawa masalah kepada dirinya dan isu itu masih berpanjangan.

Malah katanya, dia melihat ada segelintir individu cuba mengambil kesempatan atas niat ikhlasnya itu untuk kepentingan diri sendiri.

"Saya nak permudahkan semua tapi niat ikhlas saya itu diambil kesempatan oleh orang lain pula.

"Saya bagi pilihan tapi jadi masalah pula... makin meleret leret apatah lagi ucapan terima kasih. Saya amat terkilan," katanya.

Saya tak tahu pun dia mesej. Saya tak baca satu satu mesej sebab terlampau banyak. Jadi bila dah sini sana dok cakap dan media tulis pasal Firman barulah saya buka satu-satu mesej.

DS VIDA

USAHAWAN KOSMETIK

Mengenai tindakannya tidak membalas mesej Firman, Vida berkata dia menerima terlampau banyak mesej di aplikasi WhatsAppnya.

"Saya tak tahu pun dia mesej. Saya tak baca satu satu mesej sebab terlampau banyak.

"Jadi bila dah sini sana dok cakap dan media tulis pasal Firman barulah saya buka satu-satu mesej," katanya.

Vida menunjukkan barang kemas pilihan Aishah sebagai ganti rugi berlian palsu yang diterima sebelum ini.

Ditanya sama ada beliau akan membayar ganti rugi kepada Firman, Vida tetap mempertahankan ketulenan subang berlian itu.

"Kalau Aishah juara kata palsu dia pun ikut sama kata palsu. Itu bukan palsu.

"Saya minta dia (Aishah) serah balik tapi tak bagi-bagi pun. Saya check dengan lawyer dia masih tak bagi lagi semalam," katanya.

Pada sidang media Rabu lalu, Vida menunjukkan lima jenis barang kemas pilihan Aishah sebagai ganti rugi kepada berlian palsu yang dimenangi penyanyi itu pada program Gegar Vaganza musim keempat lalu.

Lima jenis barang kemas bernilai RM80,000 itu terdiri daripada dua butir berlian dan tiga bentuk cincin termasuk sebentuk cincin lelaki.

Vida berkata berkata, dia berbesar hati memenuhi permintaan Aishah dan ia adalah atas persetujuannya sendiri.

DS Vida, berlian, palsu, Firman

Artikel Lain