PELAKON Syafie Naswip yang baru putus tunang dengan Aishah Azman ditahan polis untuk membantu siasatan kes ugutan dan menyebabkan kecederaan pada Sabtu. Dalam kejadian pada 26 Jun lalu, Aishah, 23, dalam laporannya mendakwa Syafie datang ke rumahnya di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, Serdang kira-kira pukul 9 pagi dan berlaku pertengkaran dalam kereta aktor itu. Syafie didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Aishah. ARTIKLE BERKAITAN: “Dugaan ini terlalu berat, tak mampu diteruskan” - Syafie Naswip dan Aishah Azman putus tunang Akibat insiden berkenaan, ikatan pertunangan mereka akhirnya putus pada 21 Julai lalu. Syafie ditahan reman atas tuduhan ugutan dan mencederakan bekas tunangnya pada Sabtu dan dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad. Aishah mendakwa dia lambat membuat laporan kerana ingin menyelesaikan kes mereka secara baik tetapi suspek didakwa bertindak berlebihan. Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan ketika dihubungi mStar mengesahkan Syafie atau nama sebenarnya Mohammad Syafie Naswip, 27, ditahan pada Sabtu bagi membantu siasatan. Pelakon itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad selepas diambil keterangan. Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja dan melakukan ugutan. Sementara itu Aishah ketika dihubungi mStar enggan mengulas mengenai dakwaan berkenaan. Aishah enggan mengulas mengenai dakwaan dia membuat laporan polis terhadap Syafie. Pada Selasa lalu, Syafie mendedahkan ikatan pertunangannya dengan Aishah terlerai dengan alasan dia tidak mampu melalui dugaan dalam tempoh pertunangan. Pasangan itu mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis tertutup yang diadakan di Forest Valley Hall, Cheras pada 7 April lalu. Spekulasi keretakan hubungan Syafie dan Aishah mula diperkatakan apabila mereka memadam foto bersama, selain sudah tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing. Biarpun belum menetapkan tarikh perkahwinan, namun mereka pernah meluahkan hasrat untuk disatukan sebagai pasangan suami isteri pada akhir tahun ini. Syafie dan Aishah mengenali satu sama lain sejak 2015 dan mula menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu.