suria

Boy Iman, isteri cerai bertalak 3... Perniagaan merudum antara punca

Boy dan Ida bercerai selepas lapan tahun berkahwin.

PELAKON Boy Iman mengesahkan dia kini sudah bergelar duda selepas berpisah dengan isterinya, Kumala Dewi Anas, pada 20 April lalu dan jatuh tiga talak.

Boy atau nama sebenarnya Norul Iman Abdul Rahman, 39, berkata, dia dan isteri pernah bercerai dua kali iaitu pada 2015 dan 2017, namun kembali rujuk semula sebelum habis tempoh edah.

Tambahnya, kedua-dua perceraian terdahulu tidak difailkan di mahkamah syariah. Manakala, perceraian kali ketiga ini masih lagi dalam proses di mahkamah. 

ARTIKEL BERKAITAN: Boy Iman Direman Lagi

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada rekod Boy Iman calon PhD Universiti Malaya

“Sebenarnya ini adalah penceraian kali ketiga saya dengan Ida (Kumala Dewi), kali pertama berlaku pada 2015 namun kami kembali rujuk atas dasar sayang.

Boy dan Ida dikurniakan seorang cahaya mata Norul Emmer.

“Penceraian kedua pula berlaku pada 2017 namun kembali rujuk atas alasan yang sama, malah kami tidak memfailkan penceraian kerana sudah rujuk melalui hubungan kelamin,” kata Boy Iman kepada mStar.

Boy mendedahkan perceraian itu di laman sosial Instagram miliknya pada Khamis untuk mengelak salah faham dan persoalan beberapa pihak.

Biarpun sudah berpisah dan menjalani kehidupan berbeza, Boy berkata, dia tidak pernah bermusuhan dengan bekas isterinya itu.

Malah, mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama.

“Kami sekeluarga masih rapat dan meraikan hari raya bersama-sama, malah kami turut melancong bersama baru-baru ini. Kami langsung tidak membenci antara satu sama lain, cuma jodoh itu sudah tertulis berakhir di sini.

Saya tak nafikan keruntuhan rumah tangga ini adalah berpunca daripada masalah dalam perniagaan namun ia bukan punca utama.

BOY IMAN

PELAKON DAN USAHAWAN

“Pasangan mana yang mahukan penceraian? Kami cuba untuk menghadapi perkara ini dengan tenang demi anak-anak. Cuma mungkin sikap kami yang terlalu ikutkan perasaan menjadi punca perpisahan ini,” ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang perceraian tersebut mungkin disebabkan masalah kewangan dan perniagaan Boy yang kini merudum, pelakon itu berkata, dia tidak menafikan hal tersebut.

Namun, katanya, ia juga bukan punca utama mereka berpisah.

“Saya tak nafikan keruntuhan rumah tangga ini adalah berpunca daripada masalah dalam perniagaan namun ia bukan punca utama,” tambahnya.

Boy dan Kumala, 42, berkahwin pada 11 November 2011 dan pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Norul Emmer yang kini berusia enam tahun.

Kumala sebelum ini pernah berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata perempuan Ku Ivy Emmera berusia 19 tahun.

Boy Iman, cerai

Artikel Lain