KEMARAHAN netizen terhadap pelakon Haneesya Hanee yang bergaya seksi dengan mengenakan gaun pendek namun menutup kepala dengan selendang merah masih belum berakhir. Ruangan komen di foto terbaharu di Instagram miliknya terus dihujani dengan pelbagai komen netizen yang meminta dia memadam foto tersebut kerana dikatakan menyentuh sensitiviti umat Islam. Bengang dengan pelbagai cemuhan yang dilemparkan pengguna laman tersebut, Haneesya berkata dia tidak mempunyai hak untuk menurunkan gambar tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tak jahil sampai tahap macam tu lagi” - Haneesya Hanee kesal pemilik produk kongsi imej seksi nampak paha "Bukan saya yang post gambar tu! Suruh brand tu padam sebab mereka yang post. Komen dekat sini buat apa? Tak ada kerja dah?," katanya. Haneesya menjawab komen seorang pengikutnya di laman tersebut yang meminta dia segera memadam gambar seksinya yang tular baru-baru ini. Haneesya menjawab komen seorang pengikut di Instagram. "Mohonlah delete gambar tu sis, mempersendakan agama! Mak bertutup litup takkan tak ajar dari segi pemakaian, walaupun seksi perlu hormat agama," komen netizen berkenaan. Sebelum ini, pemenang Artis Baharu Wanita Popular (ABPBH32) ini memberitahu mStar, dia tidak berniat memperlekehkan agama Islam dengan mengenakan pakaian sedemikian. Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan turut berasa kesal apabila pemilik produk berkenaan memungkiri janji dengan berkongsi foto keseluruhan imej digayakannya di media sosial. "Saya tak bodoh agama dan saya tak akan memperlekehkan agama saya sendiri. Saya diberitahu gambar yang diambil cuma separuh dan sekadar nampak skarf. Itu saja tapi saya tak sangka gambar itu adalah gambar penuh. Haneesya kesal pemilik produk memuat naik gambar penuh di laman sosial. "Sedangkan masa penggambaran saya dah ingatkan mereka supaya tidak merakam foto saya dalam keadaan seksi apatah lagi muat naik di laman sosial," katanya. Meskipun ruangan komen pada foto terbaharunya itu dipenuhi dengan pelbagai bentuk cacian dan hinaan, namun ada juga segelintir pengikut yang memberikan sokongan moral dan meminta Haneesya bertenang. "Yang kau orang semua marah dia kenapa? Menegur ada cara bukan main terjah saja, tegur elok-elok. Cubalah doa dia dapat hidayah. "Sekurang-kurangnya Allah bagi dia berubah perlahan-lahan, janganlah ada benci dan nak menghakimi dia, diri sendiri pun masih tunggang-langgang kan?," kata seorang pengikut.