suria

Setahun tidak tinggal bersama, Jaclyn Victor dan Shawn Rivera bercerai - “Tak perlu buka pekung di dada”

Jaclyn dan Shawn mengambil keputusan untuk bercerai selepas lebih setahun tidak tinggal bersama.

RUMAH tangga penyanyi Jaclyn Victor dan vokalis kumpulan R&B antarabangsa, AZ Yet iaitu Shawn Rivera yang dibina selama lima tahun berakhir selepas pasangan ini mengambil keputusan untuk berpisah.

Shawn, 48, menerusi kenyataan di Facebook berkata mereka menyedari  tidak dapat meneruskan kehidupan sebagai suami isteri selepas sudah lebih setahun tidak tinggal bersama.

Bagaimanapun, Shawn berkata, dia dan Jaclyn tidak akan mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak dan akan memberi yang terbaik walaupun sudah berpisah.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tolong maafkan mama” - Jaclyn Victor menyesal terlalu manjakan anak, tak ajar cara berdikari

“Dengan berat hati dan penuh kesal, kami secara rasmi sudah bercerai. Bukan mudah untuk membuat keputusan ini. Kami sudah cuba yang terbaik tapi selepas tinggal berjauhan selama lebih setahun menyebabkan kami sukar untuk menyesuaikan diri dengan situasi berbeza ini.

Menerusi Facebook Shawn mengesahkan dia dan Jaclyn sudah bercerai.

“Walaupun berpisah, kami takkan sekali-kali mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Kami akan kekal komited memberikan yang terbaik buat kedua-dua anak kami supaya mereka menjadi insan berguna apabila dewasa kelak.

“Apapun yang berlaku antara saya dan Jac (Jaclyn), saya tetap menyayangi mereka. Melihat senyuman mereka, terubat segala rasa sedih dan patah hati yang saya lalui ketika ini,” tulis Shawn pada Sabtu.

Shawn dan Jaclyn  mendirikan rumah tangga di sebuah gereja di Philadelphia pada 19 Julai 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Jonah Joshiah Rivera, 5, dan Molly Marguerite Rivera, 3.

Shawn dan Jaclyn tetap akan menjalankan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak biarpun sudah berpisah.

Dalam pada itu, Shawn menyedari kehidupan mereka sebagai selebriti sememangnya berhadapan dengan pelbagai tanggapan masyarakat yang akan mengkritik orang lain tanpa mengetahui perkara sebenar. 

“Sebagai selebriti, tidak dinafikan kami terdedah dengan pelbagai tanggapan masyarakat dan menjadi amalan manusia untuk menilai, menuding jari dan mengkritik orang lain tanpa mengetahui kedudukan sebenar.

"Justeru, tidak perlu untuk kami membuka pekung di dada atau memburukkan antara satu sama lain kerana kesannya nanti menimpa anak kami yang tidak berdosa,” ujarnya.

Jaclyn Victor, Shawn Rivera, bercerai

Artikel Lain